YWP terima sumbangan RM37,910 daripada EXIM Bank bagi naik taraf 10 Pusat PREPKOM

FOTO BERITA: Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menerima sumbangan berjumlah RM37,910 daripada EXIM Bank Malaysia Berhad (EXIM Bank) bagi tujuan menaik taraf kemudahan fasiliti di 10 Pusat Pemerkasaan Pendidikan & Komuniti (PREPKOM) di bawah seliaan YWP.

Majlis penyerahan sumbangan telah berlangsung di PREPKOM PPR Kg. Limau, Blok 94, Jalan Kampung Pasir, Kuala Lumpur, dari jam 3.00 petang hingga 4.30 petang.

Melalui sumbangan ini, YWP akan melengkapkan setiap PREPKOM dengan papan putih, projektor, skrin projektor dan pembesar suara mudah alih bagi meningkatkan keselesaan serta keberkesanan aktiviti pembelajaran dan komuniti di pusat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, YBrs. Dr. Abdul Basir bin V. Kunhimohamed, berkata inisiatif ini amat bermakna dalam memperkukuh fungsi PREPKOM sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan suasana pembelajaran santai, selesa dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

“Dengan kemudahan yang lebih baik, kami yakin PREPKOM dapat berperanan lebih efektif sebagai platform pembelajaran sepanjang hayat dan pemerkasaan komuniti bandar,” katanya.

Setakat ini, terdapat 10 lokasi PREPKOM di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar Kuala Lumpur, meliputi Parlimen Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Titiwangsa, Setiawangsa, Cheras dan Wangsa Maju.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk kelas tuisyen SPM, kelas asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira), kelas mengaji Al-Quran, serta pelbagai program komuniti yang memberi peluang pembelajaran dalam suasana ceria dan mesra masyarakat.

YWP turut menzahirkan penghargaan kepada EXIM Bank atas komitmen dan sokongan berterusan melalui program tang,gungjawab sosial korporat (CSR) yang membantu memperkukuh kesejahteraan dan pembangunan komuniti bandar di Wilayah Persekutuan.