Perkembangan terbaru keberadaan 9 aktivis FFC, Thousand Madleens to Gaza

Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) berkongsi perkembangan positif mengenai Sembilan aktivis Malaysia yang ditahan tentera zionis Israel.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, kesemua peserta Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza akan dibawa ke Istanbul petang ini.

Ia selepas pusat gerakan operasi FFC di Turki memaklumkan, negara itu menjangkakan satu penerbangan dari Israel mendarat di Istanbul sekitar 3 petang hari ini (waktu tempatan).

“Difahamkan, pesawat berkenaan akan membawa sekumpulan aktivis FFC dari 22 negara, berkemungkinan termasuk sembilan aktivis Malaysia serta enam aktivis Global Sumud Flotilla (tiga dari Norway, dua dari Maghribi dan seorang dari Sepanyol).

“Kami juga masih menunggu maklumat terperinci dari Wisma Putra untuk mengesahkan status sembilan aktivis Malaysia dalam penerbangan tersebut, kami tidak ada kepastian jika ada wakil Malaysia,” katanya dalam sidang media hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya merancang menghantar wakil MyCARE ke Istanbul bagi membuat persediaan menyambut ketibaan aktivis berkenaan serta membawa pakaian dan keperluan lain untuk mereka.