Kerajaan bela nasib sekolah pondok, umum bantuan segera baiki 137 pondok, tahfiz
Kerajaan menyatakan komitmen akan terus berikan perhatian kepada institusi pendidikan Islam termasuk sekolah-sekolah pondok, termasuklah peruntukan kewangan dan bantuan bagi usaha pemodenan yang selaras dengan keperluan masa kini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen itu telah pun bermula apabila kerajaan mengembalikan semula bantuan kepada sekolah agama rakyat pada tahun 2023 selepas hampir dua dekad dihentikan sejak 2003.
Beliau berkata, ketika membentangkan Belanjawan 2026 semalam, kerajaan turut memperuntukkan pelbagai bantuan kewangan berjumlah jutaan ringgit khusus untuk manfaat pelajar sekolah pondok di seluruh negara.
Sementara itu Anwar ketika dalam program Kenduri Rakyat bersama warga institusi pendidikan Islam Tahfiz dan Pondok negeri Perak, mengumumkan peruntukan RM34.81 juta untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan kecil di 137 sekolah pondok dan tahfiz di seluruh negara.
Beliau berkata peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki segera kemudahan asas seperti bumbung, tandas dan bilik darjah bagi memastikan suasana pembelajaran lebih selesa kepada pelajar di pondok dan institusi tahfiz yang selama ini menjadi benteng ilmu dan kekuatan akhlak masyarakat.
“Sesetengah sekolah pondok berada dalam keadaan daif, justeru 137 sekolah termasuk lapan di Perak diberi keutamaan untuk pembaikan.
“Ini akan menjadi tumpuan segera kita, dan susulan pembentangan Bajet 2026 semalam, saya sedang meneliti cara untuk menambah peruntukan bagi memastikan setiap sekolah mendapat kemudahan yang diperlukan,” katanya.
Semalam Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion khas untuk memartabatkan syiar Islam, yang termasuk penambahbaikan prasarana institusi pendidikan Islam (sekolah pondok, sekolah agama rakyat, tahfiz).
BACA JUGA KPM sudah minta SKMM sekat semua video aib babit pelajar Tingkatan 3 dirogol