Trump ancam kenakan tarif 100 peratus terhadap China, apa dah jadi?
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan mengancam untuk mengenakan tarif tambahan sebanyak 100 peratus terhadap China mulai bulan depan.
Ia berikutan dakwaan Trump bahawa Beijing menjadi semakin bermusuhan susulan langkah China memperketat peraturan eksport nadir bumi minggu ini.
Beliau tidak berpuas hati apabila mendakwa China cuba “menawan dunia” melalui kawalan terhadap bahan penting tersebut.
Dalam satu hantaran di media sosial, Trump turut memaklumkan bahawa Amerika Syarikat akan mengenakan kawalan eksport terhadap perisian kritikal.
Sementara itu Trump dilaporkan mengugut untuk menarik diri daripada pertemuan yang dijadualkan bersama Presiden China, Xi Jinping.
Namun kemudian menjelaskan beliau belum membatalkannya, sambil menambah, “saya sendiri tidak pasti sama ada pertemuan itu akan diadakan.”
“Saya akan tetap hadir, apa pun yang berlaku,” katanya kepada wartawan di White House hari ini menurut laporan AFP.
Untuk rekod, China menguasai sebahagian besar pengeluaran nadir bumi serta bahan penting lain yang digunakan dalam kenderaan, telefon pintar dan pelbagai barangan elektronik.
Tindakan Beijing memperketat eksport nadir bumi disebabkan Trump menaikkan tarif terhadap barangan China awal tahun ini.
Beijing juga mengumumkan akan mengenakan caj pelabuhan baharu ke atas kapal yang mempunyai kaitan dengan AS, termasuk kapal milik atau dikendalikan oleh syarikat Amerika.