Ketegangan Thailand-Kemboja: Menteri-menteri Luar berbincang di sini semalam
Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, telah bertemu dengan rakan sejawatnya dari Kemboja di Malaysia semalam bagi membincangkan ketegangan berterusan di sempadan antara kedua-dua negara.
Kementerian Luar Negeri Thailand (MFA) berkata Sihasak telah mengambil bahagian dalam rundingan empat pihak yang melibatkan Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Kemboja yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut MFA, Sihasak berada di Malaysia untuk lawatan kerja atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi ASEAN.
“Rundingan tersebut merangkumi perbincangan mengenai isu-isu yang belum diselesaikan, langkah ke hadapan untuk mengurangkan ketegangan, serta memastikan kemajuan yang nyata dalam pelaksanaan perjanjian gencatan senjata,” kata MFA dalam kenyataan di akaun rasmi media sosialnya di X.
Kementerian itu menambah bahawa Sihasak menekankan kepentingan mekanisme dua hala yang telah menunjukkan kemajuan ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini, serta keperluan untuk memajukan isu-isu yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
“Menteri luar juga menekankan bidang utama seperti penarikan balik senjata berat, usaha bersama membersihkan periuk api, memerangi jenayah rentas sempadan, dan kerjasama dalam pengurusan kawasan sempadan,” katanya.
Thailand dan Kemboja kini berusaha mencapai keamanan berkekalan di sepanjang sempadan mereka sejauh 817 kilometer, yang sekian lama menjadi punca pertikaian. Ketegangan terbaru meningkat menjadi konfrontasi ketenteraan di kawasan sempadan Oddar Meanchey dan Preah Vihear pada 24 Julai lalu.
Kedua-dua kerajaan kemudiannya bersetuju untuk meredakan keadaan tersebut, yang kini dipantau rapat oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, serta oleh Amerika Syarikat dan China.
BACA JUGA: Cebu digegar gempa bumi magnitud 5.8