Rejim Israel ugut jika rakyat Palestin rayakan pembebasan tahanan

Pengganas Israel telah mengeluarkan amaran keras kepada keluarga tahanan Palestin di Tebing Barat agar tidak mengadakan sebarang bentuk sambutan selepas pembebasan tahanan hari ini.

Risalah amaran telah diedarkan oleh tentera Israel di kawasan kejiranan yang menempatkan keluarga tahanan.

“Mana-mana individu yang menyertai aktiviti sedemikian akan berdepan hukuman dan penahanan,” menurut amaran daripada rejim Zionis.

Pihak Berkuasa Palestin turut dimaklumkan oleh beberapa keluarga tahanan bahawa mereka telah diberi amaran secara peribadi oleh tentera Israel agar tidak mengadakan sebarang perayaan.

Amaran tersebut dikeluarkan menjelang fasa pembebasan tahanan Palestin sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata Gaza.

Menerusi pertukaran terdahulu pada Februari lalu, seramai 183 tahanan Palestin dibebaskan, kebanyakannya tanpa sebarang pertuduhan.

Mangsa kezaliman rejim yang dibebaskan itu dalam keadaan kurus, lemah dan berlumuran debu.

Dalam masa sama, bukti penyeksaan jelas kelihatan pada tubuh mereka, tegas Persatuan Tahanan Palestin.

Tindakan rejim Zionis mengeluarkan amaran itu dilihat sebagai usaha untuk menyekat ekspresi awam dan mengawal naratif politik di wilayah yang diduduki.

BACA JUGA Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza kibar bendera Israel: Polis siasat