Buli di sekolah terus meningkat, 7,681 kes dicatat tahun lalu

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata pada tahun lalu sahaja, sebanyak 7,681 kes buli direkodkan melalui statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), KPM.

Beliau memaklumkan pada 2023 sejumlah 6,528 kes buli dicatat, dan 3,883 kes pada tahun 2022.

“Berdasarkan statistik PDRM sehingga kelmarin, sejumlah 129 kes buli dilaporkan sejak Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 dikuatkuasakan.

“Pindaan ini dibuat bagi menangani buli secara lebih efektif dan menyeluruh,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan Program Kempen Anti Buli, di ibu negara hari ini.

Susulan peningkatan kes buli itu, Mohd Khalid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggalakkan murid untuk melaporkan insiden buli melalui saluran rasmi seperti Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

“Jangan takut, kerana PDRM sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan dan perlindungan.

“Ibu bapa juga perlu sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak.

“Jika ada tanda-tanda mencurigakan, segera hubungi pihak sekolah atau PDRM malah guru-guru pula disaran mencipta suasana kelas yang selamat dan kondusif,” nasihat beliau lagi.

BACA JUGA Wan Fayhsal dakwa ada tali barut cuba atur sesuatu terhadapnya dan Wan Saiful