Ini dia status siasatan polis ke atas presiden UMANY
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa polis telah membuka kertas siasatan ke atas presiden UMANY Tang Yi Ze berhubung kenyataannya yang mendesak pemansuhan program matrikulasi dan penggunaan STPM sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan bersabit Jalan Tun Razak, Repot 4398/2025, di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini, seramai 17 orang saksi telah dirakam percakapan, dan siasatan berhubung Presiden UMANY, Tang Yi Ze, berkaitan kenyataannya mengenai pemansuhan program matrikulasi dan penggunaan STPM sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam.”
Saifuddin berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Lim Guan Eng (PH-Bagan). Lim bertanya mengenai kemajuan siasatan polis ke atas Tang dan juga tindakan terhadap Ketua Pemuda Umno Datuk Akmal Saleh yang mencadangkan pemansuhan sekolah vernakular.
“Berhubung kenyataan Ketua Pemuda UMNO yang mencadangkan pemansuhan sekolah vernakular, hasil semakan pihak PDRM mendapati setakat ini tiada sebarang laporan polis yang diterima ke atas kenyataan tersebut.”
BACA JUGA: Perlekeh Belanjawan 2026 ‘tempang’, MP Bachok wajar nilai pentadbiran Pas di Kelantan