Danial ajak semua sayap pemuda termasuk pembangkang duduk semeja bincang isu pendidikan
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al-Rashid mencadangkan agar kesemua sayap pemuda di Selangor dari kedua-dua blok pembangkang dan kerajaan untuk duduk semeja membincangkan masa depan pendidikan negara.
Dalam satu hantaran di Facebook, Danial berkata, isu melibatkan institusi pendidikan seperti buli, rogol, jenayah, malah kehilangan nyawa bukan lagi sekadar isu disiplin pelajar, tetapi tanda ada sesuatu yang lebih serius dalam sistem yang perlu diperbetulkan bersama.
Beliau bersedia menjadi hos bagi pertemuan penting ini demi pendidikan anak-anak dan masa depan Malaysia.
“Saya mencadangkan agar semua sayap pemuda di Selangor — Pemuda Pas Selangor, Pemuda UMNO Selangor, AMK, DAPSY, Armada Bersatu, dan IKRAM Muda Selangor — duduk semeja membincangkan masa depan pendidikan negara kita.
“Isu ini melangkaui warna politik. Ia soal anak-anak kita, soal masa depan Malaysia.
“Saya sedia menjadi host bagi pertemuan ini kerana saya percaya, masa depan pendidikan negara hanya boleh dibina melalui kesatuan idea, bukan perbalahan kepartian,” ujarnya.
Pada masa sama, Danial yang juga ADUN Batu Tiga berkata beliau akan membuat surat jemputan kepada pihak yang berminat.
BACA JUGA Pemimpin Pas rupanya masih tak faham BUDI95 tapi sembang pasal gharar