DBKL raikan 500 keluarga terima Sumbangan Deepavali Komuniti 2025

FOTO BERITA: Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali Komuniti 2025 disempurnakan oleh YBrs. Tuan Ismadi Sakirin Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) di Dewan Kompleks TLK Brickfields,Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, Kuala Lumpur. 14hb Oktober 2025 (Selasa)

Menjelang sambutan perayaan Deepavali yang bakal diraikan tidak lama lagi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan Majlis Sumbangan Deepavali Komuniti Kuala Lumpur 2025 bertempat di Dewan Kompleks TLK, Brickfields.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Ismadi Sakirin, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur. Program ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan DBKL memperkukuh kesejahteraan sosial dan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti bandar raya.

Seramai 500 keluarga berpendapatan rendah daripada komuniti India yang menetap di Perumahan Awam DBKL telah dipilih sebagai penerima manfaat berdasarkan pangkalan data eKasih. Mereka menerima bantuan wang tunai serta pek goodies berisi dua jenis maruku, bagi membantu membuat persiapan menjelang perayaan Deepavali.

Penganjuran majlis ini mencerminkan keprihatinan dan tanggungjawab sosial DBKL terhadap kesejahteraan warga kota tanpa mengira latar belakang kaum atau agama. Ia juga menjadi wadah penting dalam memperkukuh semangat perpaduan, kasih sayang dan keharmonian yang menjadi tunjang kehidupan masyarakat majmuk Kuala Lumpur.

Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Malaysia Madani serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 1: Tiada Kemiskinan (No Poverty) dan SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan (Reduced Inequalities), melalui bantuan yang diberikan bagi meringankan beban kewangan dan memastikan peluang sokongan yang adil untuk semua lapisan masyarakat.

DBKL menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan sosial secara inklusif, agar Kuala Lumpur kekal sebagai bandar untuk semua – makmur, harmoni dan berdaya saing.