Malaysia bakal wajibkan media sosial laksana had pengguna, lindungi kanak-kanak bawah 13 tahun

Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan had umur kepada pengguna bagi memastikan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial.

Selepas ini, semua platform perlu menggunakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah itu bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform berkenaan benar-benar dikuat kuasa.

“Sewaktu saya bertemu dengan wakil platform media sosial bulan lalu, saya telah memberikan mesej kepada mereka bahawa di Malaysia, kita akan mewajibkan platform-platform media sosial melakukan pengesahan identiti terutama untuk memastikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun.

“Cuma exact timeline saya akan lapor kepada Jemaah Menteri dulu, baru saya akan umumkan,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan NADI on Wheels atau NOW di DUN Sindumin hari ini.

Fahmi berkata bagi tujuan itu, satu pertemuan antara SKMM dengan syarikat platform media sosial akan diadakan minggu depan yang menjadi langkah penting ke arah merealisasikan segera pelaksanaan perkara tersebut.

Selain isu kanak-kanak, beliau berkata proses eKYC juga penting bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan berbahaya seperti judi serta iklan palsu.

“Banyak platform disalahgunakan oleh penjenayah untuk tujuan scam… semalam, dalam Parlimen saya ada menjawab soalan… ada angka yang menggerunkan… 78 peratus daripada semua kandungan scam yang telah diturunkan itu adalah daripada Facebook,” katanya.