Skim khas galak warga emas produktif, ini pandangan Menteri

Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyambut baik cadangan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) untuk mewujudkan skim khas menggalakkan warga emas yang masih produktif menyumbang dalam pasaran kerja menerusi kerja separuh masa atau keusahawanan komuniti.

“Kementerian menyambut baik cadangan daripada Sembrong untuk mewujudkan skim khas bagi menggalakkan warga emas yang masih produktif menyumbang dalam pasaran kerja melalui kerja separuh masa atau keusahawanan komuniti selari dengan trend penuaan populasi negara,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Terdahulu Sim menyatakan terdapat seramai 341 pencari kerja berumur 60 tahun ke atas dari tempoh Januari sehingga 19 Sept 2025, berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial.

“Antara sektor yang tertinggi menawarkan pekerjaan kepada warga emas adalah sektor pembuatan iaitu seramai 70 orang, diikuti sektor perdagangan borong dan runcit melibatkan seramai 42 orang dan sektor profesional, saintifik dan teknikal, seramai 29 orang warga emas.”

Isu ini penting memandangkan Malaysia akan menjadi negara menua menjelang 2030 dan 15.3 peratus penduduk akan berumur 60 ke atas.