TalentCorp lancar Persidangan LIFE AT WORK 2025: dorong transformasi tempat kerja berpusat kepada insan

FOTO BERITA: Persidangan Anugerah Life at Work 2025, bersempena dengan Majlis Anugerah Life at Work 2025 anjuran bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Sesi Fireside Chat bertajuk “Beyond Awards: Transforming the Future of Work, Workforce, and Workplace” yang akan disampaikan oleh YBM Steven Sim Chee Keong di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. 15hb Oktober 2025 (Rabu)

Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini melancarkan Persidangan LIFE AT WORK (LAWA) 2025, sebuah platform nasional yang menghimpunkan pemimpin industri, majikan dan pembuat dasar bagi membincangkan masa depan tempat kerja yang lebih progresif, inklusif dan berpusat kepada insan.

Persidangan yang berlangsung di ibu negara itu turut menjadi landasan kepada Anugerah LIFE AT WORK 2025, yang akan diadakan pada 30 Oktober ini bagi mengiktiraf majikan paling progresif dalam memperjuangkan fleksibiliti, kesejahteraan dan kelestarian tenaga kerja.

Dalam ucapan pelancaran, Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong, menegaskan bahawa Belanjawan 2026 akan terus menempatkan rakyat di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi negara.

“Apabila kita mewujudkan tempat kerja yang ambil peduli — di mana fleksibiliti dan kesejahteraan dihargai — produktiviti akan meningkat. Melalui inisiatif seperti LIFE AT WORK dan Aturan Kerja Fleksibel (AKF), kita sedang membina ekonomi yang membolehkan setiap rakyat Malaysia menyumbang secara bermakna,” ujar beliau.

Beliau turut berkongsi bahawa lebih 900,000 pekerja kini telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan AKF di bawah TalentCorp, dengan majikan melaporkan peningkatan produktiviti dan penglibatan pekerja yang lebih kukuh.

YB Steven Sim juga menekankan bahawa reformasi dasar tenaga kerja, termasuk pindaan kepada Akta Kerja 1955, insentif cukai untuk tempat kerja mesra penjagaan, serta usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, mencerminkan komitmen Malaysia membina ekonomi yang menghargai nilai kemanusiaan.

Sementara itu, Pengerusi TalentCorp, YB Wong Shu Qi, menyifatkan Persidangan LAWA 2025 sebagai ruang kolaboratif untuk menterjemahkan dasar kepada tindakan nyata di tempat kerja.

“Daya saing masa depan Malaysia bergantung kepada cara kita menghargai tenaga kerja kita. LAWA menghubungkan dasar nasional dengan amalan tempat kerja sebenar — membantu organisasi memperkukuh budaya kerja yang fleksibel, inklusif dan berempati,” katanya.

Lebih 500 peserta menghadiri persidangan sehari ini yang menampilkan sesi kepimpinan pemikiran oleh pemenang-pemenang Anugerah LIFE AT WORK terdahulu, dengan topik perbincangan meliputi kepimpinan inklusif, neurodiversiti, reka bentuk tempat kerja serta penggunaan digital untuk kesejahteraan pekerja.

Melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan TalentCorp, kerajaan akan terus komited untuk menjadikan fleksibiliti dan kepedulian sebagai pemacu utama produktiviti nasional.