Mufti Perlis puji keterbukaan dan rendah diri Menteri Sumber Manusia Steven Sim

Oleh A. ZAHID

Pertemuan antara Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila disifatkan sebagai lambang perpaduan merentas agama dan politik.

Melalui satu hantaran di media sosial, Dr Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza menggambarkan Steven Sim sebagai pemimpin bukan Islam yang beradab, berilmu dan memahami realiti masyarakat majmuk Malaysia.

Dalam pertemuan yang berlangsung di kediaman Dr Asri di Perlis itu, suasana santai dan mesra jelas terpancar melalui gambar yang tular menunjukkan kedua-duanya berbual sambil tersenyum.

Ramai pengguna media sosial memuji kehangatan hubungan dua tokoh ini, melihatnya sebagai contoh semangat Malaysia sebenar.

Dr Asri menulis bahawa kekuatan Steven Sim terletak pada penguasaan bahasa Melayu, ilmu pengetahuan yang luas dan kehalusan budi pekertinya.

Beliau menegaskan bahawa gaya politik yang diamalkan oleh Sim mencerminkan pendekatan yang inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan sejagat. “Politiknya bersifat ‘Malaysia’, bukan berasaskan fahaman perkauman sempit.

“Semoga beliau terus memilih jalan yang membawa kebaikan dan kasih sayang,” katanya.

Menariknya, pertemuan tersebut turut diserikan dengan hidangan Nasi Kandar Deen Mutiara yang dibawa khas dari Pulau Pinang oleh pemilik restoran terkenal itu, A. Wahab, yang turut serta menjamu selera bersama mereka.

Dalam era politik yang sering dipenuhi perbezaan dan retorik kaum, pertemuan sederhana ini memberi isyarat bahawa nilai hormat, kesederhanaan dan keikhlasan masih menjadi jambatan kepada perpaduan sejati.

Ia menunjukkan bahawa hubungan kemanusiaan mampu mengatasi sempadan agama dan fahaman politik selagi terasnya adalah saling memahami dan menghargai.

BACA JUGA 4 pelajar di Kedah pula rogol beramai-ramai dalam kelas selama empat bulan