Pertandingan Akhir KHIR DJ Kebangsaan “Beat EAT Thalaivan” 2025 platform baharu mencungkil bakat anak muda dalam dunia muzik profesional

FOTO BERITA: Pertandingan Akhir DJ Kebangsaan “Beat Thalaivan” 2025 (Satu Pentas Satu Juara) anjuran Pejabat ADUN Sentosa dengan kerjasama Agenda Suria. Turut hadir YB Tuan Dr Gunarajah A/L R George ADUN Sentosa dan Mr Jaggarao Simancha (Jack) CEO Agenda Suria di Carpark B, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil. 15hb Okt, 2025(Rabu)

Carpark B, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil bergema dengan sorakan dan rentak muzik apabila berlangsungnya Pertandingan Akhir DJ Kebangsaan “Beat Thalaivan” 2025, pertandingan seni muzik versi bahasa Tamil yang julung kali diadakan di peringkat kebangsaan bagi merebut gelaran Disc Jockey (DeeJay) terbaik Malaysia musim pertama.

Program yang penuh warna-warni dan tenaga ini merupakan inisiatif YB Dr. Gunaraj George, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa merangkap Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, dalam usaha menyokong pembangunan bakat anak muda serta memperkasa industri hiburan profesional di Malaysia.

Dalam ucapannya, Dr. Gunaraj George menegaskan bahawa pertandingan ini bukan sahaja menjadi pentas pertandingan, tetapi juga wadah perpaduan dan pembangunan belia yang berpaksikan kreativiti serta semangat kebersamaan.

“Beat Thalaivan membuktikan bahawa anak muda kita mampu menyerlah dalam bidang seni hiburan moden. Ia bukan sekadar hiburan semata, tetapi landasan untuk membina kerjaya profesional, mengetengahkan bakat tempatan, dan mengharumkan nama negara dalam industri muzik serantau,” ujar beliau.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua penganjur, juri, dan artis undangan atas komitmen mereka menjayakan acara ini yang dianggap sebagai permulaan baharu dalam landskap muzik komuniti Tamil di Malaysia.

Pertandingan akhir ini turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh artis tanah air seperti Psychomatra, Santesh, dan Arvin Raj, yang menghangatkan suasana dengan alunan lagu dan persembahan penuh bertenaga.

Turut sama menjayakan acara ialah Tuan Jack dari Agenda Suria serta barisan juri berpengalaman – DJ Naughty, DJ Dass, dan DJ Moski – yang menilai peserta berdasarkan kreativiti, teknik persembahan, kawalan irama dan penguasaan pentas.

Senarai Pemenang Pertandingan Akhir DJ Kebangsaan “Beat Thalaivan” 2025 iaitu, Juara Shavinash A/L Karunaanithi DJ NASH Selangor. Naib Juara Dinesh Kumar A/L Sivakumar DJ LOW-X Kuala Lumpur. Tempat Ketiga George Harrison A/L Soosainathan DJ GG Perak. Ke-4 Seri Tarshan A/L Seri Tharan DJ THARSH Johor. Ke-5 Arulselvan A/L Silvarajoo DJ SENNA Negeri Sembilan dan ke-6 Darvin A/L Paniselvam DJ STITCH Melaka

Pemenang utama, DJ NASH dari Selangor, membawa pulang hadiah wang tunai, RM5,000 trofi serta peluang rakaman profesional bersama label muzik tempatan sebagai pengiktirafan atas persembahan dinamik dan kreativiti luar biasa beliau di pentas final.

Muzik Sebagai Suara Generasi Baharu

Pertandingan “Beat Thalaivan” diiktiraf sebagai satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha mencungkil dan memperkasa bakat anak muda dalam bidang hiburan serta muzik profesional. Program ini juga menjadi jambatan kepada perpaduan komuniti pelbagai kaum melalui seni dan irama muzik moden.

Acara ini diakhiri dengan sesi penghargaan kepada semua peserta, juri, dan tenaga kerja di sebalik tabir yang telah menjayakan penganjuran edisi sulung ini dengan penuh gemilang.