Berisiko undang fitnah terhadap agama, kibar bendera Israel melampau batas syarak – Mufti

Tindakan mengibarkan bendera lambang zionis Israel yang mewakili ideologi kekejaman dan kezaliman khususnya telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat. 

Bagi umat Islam, tindakan mengibarkan bendera rejim Zionis merupakan perkara yang amat sensistif kerana ia berkait rapat dengan simbol kezaliman, penjajahan dan penindasan berpanjangan terhadap umat Islam di Palestin

Rentetan senario itu, tindakan mengibarkan bendera Israel secara terbuka di negara ini telah menimbulkan beberapa persoalan yang memerlukan penjelasan terutamanya dari perspektif syarak.

Menurut penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil, tindakan mengibarkan bendera Israel secara terbuka adalah dilarang.

Ini kerana ia termasuk dalam perbuatan yang melampaui batas syarak apabila menzahirkan pengiktirafan terhadap kezaliman dan menyinggung sensitiviti umat Islam di seluruh dunia.

Beliau berkata, umat Islam hendaklah berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan yang menyentuh perihal golongan kafir, khususnya kelompok yang menzahirkan permusuhan dan kezaliman terhadap umat Islam.

“Tindakan mengibarkan bendera Israel secara terbuka adalah dilarang kerana ia termasuk dalam perbuatan yang melampaui batas syarak.

“Selain itu, tindakan tersebut juga bercanggah dengan dasar luar kerajaan Malaysia yang menolak sebarang hubungan dengan Israel.

“Oleh itu, umat Islam sewajarnya lebih berhati-hati dan berwaspada dalam perkara yang boleh membawa kepada salah faham atau fitnah terhadap agama Islam dan perjuangan ummah Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Tinta Mufti Bil yang dimuat naik di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan malam tadi.

BACA JUGA Bersekutu Bersatu pula bergolak: RM100,000 cukup untuk hentikan tindakan Lembaga Disiplin?