‘Hamzah, laksanakan belanjawan bayangan anda di negeri tadbiran PN dulu’

Naib presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin melaksanakan belanjawan bayangan 2026 mereka di negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional.

Cabaran tersebut dibuat ekoran pengumuman Hamzah bahawa rakyat akan diberikan RM6,000 setahun.

“PN kini memerintah empat negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

“Kalau benar hebat, bentangkanlah “Bajet PN” 2026 versi PN/PAS di empat negeri tersebut seperti diimpikan Hamzah.

“Tak perlu tunggu jadi kerajaan pusat untuk tunjuk kehebatan. Rakyat pun nak tengok sejauh mana mereka mampu menunaikan janji manis yang dilaungkan.

“Kalau betul PN mampu beri RM500 sebulan, silakan mulakan dengan Bajet 2026 di negeri sendiri.

“Buktikan kononnya “kerajaan prihatin versi PN” bukan sekadar slogan masa ceramah.”

Mahfuz turut mencabar kepimpinan PN untuk menuruti langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang enggan menerima gaji sebagai perdana menteri dan pemotongan gaji 20 peratus oleh anggota Jemaah Menteri.

“Kalau PN benar-benar nak tunjuk bajet mereka “lebih baik”, Menteri Besar tak perlu smbil gaji dan Exco empat negeri itu bolehlah ikut jejak jemaah menteri kerajaan persekutuan potong gaji 20% atau tak ambil gaji langsung.

“Gunakan penjimatan itu untuk bantu fakir miskin dan asnaf. Barulah rakyat nampak keikhlasan, bukan sekadar pandai menabur janji.”

Mahfuz turut menempelak PN yang kerap meminta wang ehsan daripada kerajaan persekutuan tetapi dana tersebut tidak digunakan untuk kepentingan rakyat.

“Jangan asyik dapat duit ehsan dari kerajaan pusat, tapi sibuk tukar kereta rasmi baru dan naik elaun pentadbiran.

“Kalau bajet PN betul-betul hebat, tunjukkan dengan amalan berjimat, bukan dengan kemewahan kuasa.”

Mahfuz turut mengkritik Belanjawan 2026 PN sebagai sesuatu yang berasal daripada ilham fantasi.

“Rakyat dah cerdik tahu beza antara bajet realistik dengan bajet khayalan.

“Kalau Hamzah nak tunjuk kehebatan, jangan buat bajet dalam mimpi. Buat bajet di bumi nyata di negeri yang PN perintah.

“Kalau Bajet Madani datang dari idea rasional dan realiti, Bajet PN nampaknya datang dari ilham fantasi.

“Cakap senang, laksana susah kecuali kalau bajet mereka ditulis atas awan dan ditandatangani oleh bintang.”

BACA JUGA: ‘AKSB kami nak air’ – Penduduk Kelantan gantung kain rentang, protes air tak ada