KPDN Selangor perketat penguatkuasaan SHMMP Deepavali 2025, pastikan harga barang kekal terkawal

FOTO BERITA: Walkabout dan Sidang Media selepas pemeriksaan dan tinjauan Penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 bersama Tuan Mohd Zuhairi Mat Radey, Pengarah KPDN Selangor di TF Value Mart Batu Caves Complex, Jalan Batu Caves,Taman AMAN Samudra, Batu Caves Selangor. 17hb Oktober 2025 (Jumaat)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor hari ini melaksanakan pemeriksaan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 di Pasaraya TF Value Mart, Batu Caves, bagi memastikan harga barangan keperluan asas terkawal sepanjang musim perayaan.

Pemeriksaan tersebut diketuai oleh Tuan Mohd Hanizam bin Kechek, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Selangor, dengan kerjasama pegawai kanan daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak. Turut hadir, Tuan Zariman bin Ibrahim, Timbalan Pengarah Jabatan Pelesenan MPS (wakil kepada YDP MPS) dan Puan Nor Hidayu binti Sumiran, Penolong Pegawai Daerah Gombak (wakil kepada DO Gombak).

Menurut Mohd Hanizam, pemeriksaan hari ini merupakan hari kedua penguatkuasaan SHMMP yang telah bermula pada 16 Oktober dan akan berakhir pada 22 Oktober 2025, iaitu meliputi empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan, dan dua hari selepas perayaan.

“Sebanyak 15 pegawai penguat kuasa KPDN Selangor terlibat dalam operasi hari ini yang memfokuskan kepada sembilan jenis barangan di bawah skim ini bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Antara aspek pemeriksaan termasuk memastikan barangan tidak dijual melebihi harga maksimum, penggunaan tanda harga merah jambu (pink tag) bagi barangan terkawal, alat timbang yang telah ditentusah, serta keberadaan bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan.

Mohd Hanizam menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi SHMMP, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi individu, dan RM500,000 bagi syarikat. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan mendapati premis memberikan kerjasama baik dan berada pada tahap pematuhan yang tinggi, malah kebanyakan barangan dijual lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.

Antara contoh barangan SHMMP di premis berkenaan ialah daging kambing biri-biri bertulang import RM25.99/kg (Harga maksimum RM30.00), tomato RM4.59/kg (Harga maksimum RM5.50), cili merah RM15.49/kg (Harga maksimum RM16.00) dan bawang merah besar import RM1.99/kg (Harga maksimum RM4.50)

“KPDN Selangor percaya lebih banyak pasar raya dan peniaga di negeri ini akan menawarkan harga yang kompetitif sempena musim Deepavali. Setakat ini, bekalan barangan di Selangor adalah stabil dan terkawal,” tambah beliau.

Bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan, seramai 207 pegawai penguat kuasa KPDN Selangor telah digerakkan di seluruh negeri, dan sejak 2023 hingga kini, sebanyak 5,158 pemeriksaan SHMMP telah dijalankan dengan 98 kes direkodkan melibatkan kesalahan menjual melebihi harga maksimum, tidak menggunakan tanda harga merah jambu dan gagal mempamerkan tanda harga.

Selain SHMMP, KPDN Selangor turut mempergiatkan pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang menawarkan barangan keperluan asas sekurang-kurangnya 30% lebih murah daripada harga pasaran.

Di TF Value Mart hari ini, sebanyak 27 barangan ditawarkan dalam PJRM, termasuk tiga barangan SHMMP iaitu tomato, bawang merah besar, dan daging kambing import. Sepanjang tahun ini hingga 30 September 2025, sebanyak 2,419 jualan PJRM telah dilaksanakan dengan subsidi hampir RM15 juta, dan khusus sempena Deepavali 2025, 124 lokasi jualan Rahmah Madani dianjurkan di seluruh Selangor.

“Kedua-dua inisiatif SHMMP dan PJRM ini merupakan komitmen kerajaan melalui KPDN untuk membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup, khususnya menjelang musim perayaan,” jelas Mohd Hanizam.