Makin banyak cerita tak sedap, komuniti pendaki tuntut penjelasan malim gunung

Semakin banyak spekulasi dan cerita kurang enak mula tersebar berhubung kematian seorang pendaki, Mustaqqeem Mansoor yang ditemui meninggal di puncak Gunung Liang, Tanjung Malim kelmarin.

Menurut beberapa laporan media, mangsa dipercayai hilang ketika melakukan aktiviti mendaki bersama 10 rakan di Gunung Liang.

Ketika ini terdapat desakan supaya pihak malim gunung dan “sweeper” yang sepatutnya bertindak sebagai pengiring, dan penjaga keselamatan kumpulan pendaki semasa berada di gunung, untuk memberi penjelasan segera berhubung isu tersebut.

Dalam beberapa perkongsian di laman kumpulan pendakian, mangsa dikatakan sakit kaki sebelum ditinggalkan bersama seorang pendaki lain, sementara lapan pendaki turun terlebih dahulu untuk mendapatkan bantuan.

Namun bantuan tidak kunjung tiba sehingga keesokan hari, menyebabkan satu-satunya pendaki yang menemaninya pula turun untuk mencari bantuan.

Komuniti pendaki membangkitkan soalan lebih penting, bagaimana seorang malim gunung boleh membiarkan pendaki yang tidak sihat ditinggalkan berdua di puncak, serta mengapa bantuan mengambil masa begitu lama untuk sampai.

Dikhabarkan puncak Gunung Liang sangat sejuk pada waktu malam antara 10 hingga 13’C.

Pendakian ke Gunung Liang dianggap sangat mencabar dengan jarak lebih kurang 9 kilometer sehala dan kenaikan altitud sekitar 1,730 meter.

Tempoh perjalanan pergi dan balik boleh mengambil masa antara 10 hingga 13 jam bergantung kepada cuaca.

BACA JUGA ‘AKSB kami nak air’ – Penduduk Kelantan gantung kain rentang, protes air tak ada