Pergolakan dalam Bersekutu Bersatu: Ini jawapan pengerusi Lembaga Disiplin
Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu Datuk Radzi Manan enggan mengulas berkenaan dua laporan yang dibuat terhadap naib ketua sayap Bersekutu Bersatu, Sanjeevan Ramakrishnan dan ketua Bersatu Bersekutu Selangor Datuk Goh Gaik Meng.
“Hantarkan kepada urusetia. Mereka akan uruskan. Saya di Lembaga Disiplin tak boleh cakap,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kelewatan tindakan Lembaga Disiplin terhadap aduan yang dibuat terhadap dua tokoh Bersekutu Bersatu yang disebutkan di atas.
Aduan telah dibuat kepada Lembaga Disiplin terhadap mereka berdua kerana dikatakan mengetuai boikot terhadap ketua Bersekutu Bersatu Datuk Chong Fatt Full ketika perhimpunan agung tahunan yang berlangsung pada 6 Sept 2025.
Ekoran itu, ketua Bersekutu Bersatu Bangi K Vasantha Kumar menyoal berkenaan pemberian wang RM100,000 oleh Sanjeevan kepada bendahari parti Datuk Seri Rina Harun semasa Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT), yang turut disaksikan oleh presiden Tan Sri Mahiaddin Yassin, memberikan imuniti kepada kedua-dua tokoh yang terpalit dengan tuduhan.
Mesyuarat tersebut berlangsung pada pertengahan tahun ini.
Radzi juga enggan mengulas berkenaan pemberian wang RM100,000 tersebut.
Bersekutu Bersatu ialah sayap bukan Melayu di dalam Bersatu.
Vasantha Kumar membangkitkan persoalan mengenai perkara ini kerana Lembaga Disiplin pantas mengambil tindakan memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan dan menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.
Empat ketua bahagian lagi turut dipecat.
Wan Saifulruddin dan Wan Ahmad Fayshal merupakan ahli MPT.
Laporan terhadap Sanjeevan dan Goh telah dibuat sebelum kontroversi membabitkan Wan Saifulruddin dan Wan Ahmad Fayshal timbul.
BACA JUGA: Bersekutu Bersatu pula bergolak: RM100,000 cukup untuk hentikan tindakan Lembaga Disiplin?