DMDI Global lancar Club Saudagar perkukuh jaringan ekonomi Dunia Melayu Dunia Islam

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Pelancaran Club Saudagar DMDI Global oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam fYang di-Pertua Negeri Melaka. Turut hadir Penasihat Saudagar DMDI GlobalYBhg Prof Emeritus Datuk Wira Dr Hj Mohd Jamil Mukmin dan Ketua Saudagar DMDI Global YBhg Dato’ Hjh Joyah Abd Rashid di Noble Resort Hotel, Melaka.18hb Oktober 2025 (Sabtu)

Dalam usaha memperkukuh jaringan ekonomi dan memperkasakan komuniti usahawan Melayu-Islam di peringkat antarabangsa, Club Saudagar Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Global dilancarkan secara rasmi hari ini oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Presiden DMDI, dalam satu majlis penuh gilang-gemilang di Noble Resort Hotel, Melaka.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg. Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Haji Mohd Jamil Mukmin, Naib Presiden DMDI merangkap Penasihat Saudagar DMDI Global; YBhg. Dato’ Hjh Joyah Abd Rashid, Ketua Saudagar DMDI Global; Yth. Datuk Said Aldi Al Idrus, Ketua Umum DMDI Indonesia; serta YBhg. En. Muhammad Efendi Abdul Razak, Timbalan Pengarah Pengedaran Perbankan Runcit Bank Islam Malaysia Berhad. Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah DMDI, tetamu kehormat, serta para saudagar dan usahawan dari pelbagai sektor.

Majlis ini menandakan satu detik bersejarah bagi komuniti saudagar DMDI, apabila inisiatif penubuhan kelab ini dilihat sebagai pemangkin utama untuk membina jaringan perdagangan global yang mampan antara 23 negara anggota DMDI.

Dalam ucapannya, Dato’ Hjh Joyah Abd Rashid menzahirkan penghargaan kepada TYT Tun Mohd Ali atas ilham dan bimbingan berterusan terhadap pembangunan Saudagar DMDI Global. Beliau menjelaskan bahawa idea menubuhkan kelab ini tercetus hasil hasrat murni untuk menyusun strategi ke arah memartabatkan perniagaan dan keusahawanan Melayu-Islam di peringkat serantau.

“Hari ini adalah saat bersejarah apabila TYT Tun melancarkan Club Saudagar DMDI Global yang telah lama kita nantikan. Club ini bukan sahaja simbol kekuatan saudagar, malah wadah untuk melahirkan jaringan ekonomi yang inklusif dan progresif,” ujar beliau.

Dato’ Hjh Joyah turut memperincikan bahawa Club Saudagar DMDI Global memperkenalkan dua kategori keahlian utama, iaitu Keahlian Eksklusif dan Keahlian Standard, masing-masing dengan manfaat dan pendekatan strategik tersendiri.

Keahlian Eksklusif memberi peluang kepada ahli menyertai projek mega, latihan intensif, dan akses rangkaian perniagaan di 23 negara anggota DMDI dengan yuran keahlian RM1,000 bagi tempoh tiga tahun.

Keahlian Standard pula berperanan sebagai pintu masuk bagi usahawan baharu, dengan yuran RM195 setahun, termasuk peluang bimbingan, kolaborasi dan pembangunan pasaran.

Menurut beliau, struktur keahlian ini dirangka untuk memastikan setiap lapisan usahawan — daripada yang baru bermula hingga ke peringkat global — mendapat ruang pertumbuhan dan kolaborasi yang adil serta strategik.

Beliau turut memperkenalkan visi dan misi Club Saudagar DMDI Global, iaitu menjadi pusat rujukan perniagaan dan jaringan global ekonomi Dunia Melayu Dunia Islam serantau, dengan pelan tindakan berfasa iaitu asas (Short Term ROI) – Pembangunan usahawan profesional melalui latihan, bengkel dan program mentor., pertumbuhan (Mid Term ROI) – Promosi dan kolaborasi strategik dengan jaringan antarabangsa dan institusi kewangan. dan kejayaan Global (Long Term ROI) – Membuka akses pasaran antarabangsa dan pelaburan global untuk ahli DMDI.

Majlis turut diserikan dengan pantun penutup daripada Dato’ Hjh Joyah sebagai simbol semangat dan iltizam para saudagar DMDI:
“Bulat air kerana pembetung, Bulat manusia kerana muafakat, Club Saudagar DMDI kita junjung, Demi kemakmuran umat dan masyarakat.”

Pelancaran Club Saudagar DMDI Global ini menandakan permulaan baharu dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan Melayu-Islam ke arah kejayaan ekonomi global yang lestari dan berdaya tahan.






