Sidang Kemuncak ASEAN: 102 sekolah dibenarkan PdPR, BDR
Sebanyak 102 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor diberi kebenaran melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta Bekerja Dari Rumah (BDR) daripada 23 hingga 29 Oktober sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan langkah berkenaan bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas mengambil kira penutupan jalan dan kawalan keselamatan yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh persidangan berlangsung.
“Ibu bapa, penjaga, murid, guru dan warga sekolah terbabit dinasihatkan merujuk saluran rasmi sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan PdPR dan BDR,” menurut kenyataan KPM itu.
KPM turut memaklumkan pengalaman melaksanakan PdPR dan BDR sewaktu pandemik COVID-19 serta semasa penganjuran Sidang ASEAN Mei lalu dapat memastikan kelangsungan proses pembelajaran dan pada waktu sama aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah terpelihara.