Kes rogol bukan soal pakaian tapi tentang solat dan jauh dari agama

Isu sebenar kes rogol bukan berpunca daripada pakaian tetapi kelemahan pegangan agama, tegas pemerhati sosial, Faridzul Asyraf Mat Arifin.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan peguam dan aktivis Siti Kasim yang mendakwa kes rogol di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) hampir tiada walaupun pelajar perempuan di sana memakai skirt.

Faridzul berpendapat hujah Siti Kasim itu secara asasnya merujuk kepada data yang dikupas daripada laporan The Edge.

Namun, jelasnya, cara laporan media memetik kenyataan tersebut menjadikannya kelihatan lebih sensasi dan mencetuskan perdebatan.

“Saya dah tengok video tu, sebenarnya dia kupas data dari The Edge, dan secara fakta memang valid. Cuma biasalah, media nak sensasi, jadi mereka ambil bahagian yang boleh tarik perhatian,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diperjelaskan agar masyarakat tidak membuat kesimpulan melulu.

“Pertama, orang Melayu memang majoriti di Malaysia, jadi apa-apa statistik jenayah pun akan menunjukkan angka majoriti dalam kalangan Melayu. Itu fakta angka, bukan soal bangsa semata-mata,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, data mengenai kes rogol di sekolah juga bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh kerana kebanyakan kes diklasifikasikan di bawah laporan nasional dan tidak dinyatakan mengikut jenis sekolah.

Oleh itu, hujahnya, dakwaan bahawa SJKC dan SJKT hampir sifar kes rogol dianggap tidak tepat.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pemakaian sopan dan menutup aurat adalah tuntutan agama tetapi ia bukan jaminan untuk mengelak jenayah seperti rogol.

“Dalam Islam, menutup aurat itu kewajipan kerana perintah Allah, bukan kerana nak elak rogol.

“Tapi kita kena faham, bila manusia jauh daripada agama, perkara maksiat dan jenayah akan berleluasa,” katanya.

Lebih selamat

Terdahulu, Siti Kasim antara lain berkata, pelajar di sekolah Cina dan Tamil tidak memakai uniform Panjang tetapi ujarnya, tidak pernah atau jarang sekali mendengar kes rogol, liwat, kelucahan, buli atau dipukul hingga mati membabitkan sekolah vernakular.

Seiring dengan pandangan penganalisis Syed Akbar Ali yang membincangkan isu jenayah seksual di sekolah kebangsaan, Siti turut menyindir Kementerian Pendidikan.

“Orang Islam menganggap mereka kafir kerana agama mereka, tetapi anak-anak mereka lebih selamat.

“Ini walaupun mereka tidak mendapat keistimewaan mengikuti kelas agama selama berjam-jam setiap minggu. Tiada kelas agama Buddha atau Hindu di sekolah rendah vernakular Cina dan Tamil (SRJK),” katanya.

Siti Kasim turut menegur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana mengaitkan kes rogol di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka baru-baru ini dengan penekanan berlebihan terhadap pencapaian akademik berbanding penerapan nilai moral dan etika.

“Apa yang sebenarnya dipelajari pelajar dalam kelas agama sedangkan jam pembelajaran Islam jauh lebih banyak daripada subjek lain… mengapa keadaan semakin teruk?” katanya dalam satu video di YouTube.

Hujah Siti, statistik kes rogol di Malaysia menunjukkan bahawa orang Melayu merupakan pelaku utama, diikuti oleh kaum India dan Cina.

Menurutnya, kaum Melayu menyumbang kira-kira 65 hingga 80 peratus daripada kes rogol yang dilaporkan dalam pelbagai kajian dan kenyataan rasmi.

“Sebanyak 1,914 kes rogol dilaporkan secara rasmi di Malaysia pada tahun 2023 berbanding 1,712 kes pada tahun 2022.

“Liputan media dan perbahasan Parlimen bagi tahun 2024 menunjukkan negeri-negeri majoriti Muslim khususnya Kelantan, Terengganu dan Kedah merekodkan jumlah tertinggi kes rogol bawah umur, menunjukkan majoriti kes di seluruh negara terus melibatkan orang Melayu,” kata Siti Kasim lagi.

Mengulas lanjut, Faridzul berpendapat, dalam masa sama, masyarakat Melayu khususnya tidak boleh menafikan hakikat bahawa statistik menunjukkan kes rogol lebih banyak dilaporkan dalam kalangan bangsa sendiri.

“Kita tak boleh terus menafikan. Ini petanda bahawa ada masalah akar umbi dalam masyarakat kita.

“Lihat semula pada tiang agama — solat. Berapa ramai yang meninggalkan solat?” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru umat Islam agar melihat isu sosial sebagai cerminan terhadap jauhnya hubungan umat dengan agama, dan mengajak semua pihak memperkuat usaha dakwah, bukan menyerahkan tanggungjawab itu kepada golongan ustaz semata-mata.

“Yang masih ada kesedaran, jalankan dakwah. Sebab tugas dakwah bukan milik ustaz dan ahli agama saja.

“Semua akan ditanya apa peranan kita bila maksiat dan jenayah berlaku depan mata,” kata beliau lagi.

BACA JUGA BUDI95 dah dapat ‘cekup’ siapa seludup RON95 ke Golok