Kita nak lebih daripada Hamas kenapa? Kecaman berlebihan tak bantu penyelesaian Gaza

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang berlebihan mengecam rundingan pelan damai Amerika Syarikat (AS), khususnya pelan 20 Perkara oleh Presiden AS Donald Trump.

Beliau mempersoal pihak-pihak yang melontarkan pandangan keterlaluan dalam soal ini termasuk mengkritik apabila Malaysia berunding dengan AS.

Katanya, tindakan itu langsung tidak membantu untuk memberikan penyelesaian damai kepada Gaza.

“Saya beritahu apa kebimbangan saya, kita tak setuju semua penyelesaian 20 Perkara (dicadangkan Presiden Donald Trump), tapi saya dengar juga (pandangan) lain termasuk Hamas yang berunding dengan Israel.

“…yang kita nak lebih daripada Hamas ini sebab apa? Kita ini sikap kita kadang kala itu nak mengajar lagi sedangkan Hamas itu bertempur, ribuan dah mati. Yang kita di sini oh jangan runding, jangan cakap dengan Amerika,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat di Politeknik Merlimau, Melaka.

Anwar berkata El-Sisi turut menyatakan persetujuan untuk mengetengahkan perkara-perkara yang dibangkitkan Malaysia yang tidak termasuk dalam 20 Perkara yang dicadangkan Trump, menerusi satu persidangan pada November depan.

“Saya juga minta laluan untuk sukarelawan Malaysia dibenarkan masuk, nak bantu dan dia (El-Sisi) bagi jaminan,” katanya.