PM, menteri rai semangat perpaduan di rumah Gobind sempena Deepavali
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkunjung ke kediaman Menteri Digital, Gobind Singh Deo, bagi meraikan sambutan Deepavali bersama masyarakat beragama Hindu dan memupuk semangat perpaduan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Dalam satu hantaran di laman sosial beliau, Anwar menzahirkan rasa gembira dapat bersama-sama meraikan perayaan tersebut yang disambut penuh warna-warni dan kekeluargaan.
“Berkunjung ke kediaman Menteri Digital saudara YB Gobind Singh Deo untuk bersama meraikan semangat perpaduan dan kebersamaan,” kata beliau dalam hantaran itu.
Dalam masa sama, Anwar turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada seluruh penganut agama Hindu di negara ini.
“Semoga seluruh penganut Hindu berbahagia di samping keluarga tersayang. Deepavali Nal Vazhtugal!” katanya.

Turut serta dalam kunjungan muhibah itu ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Terdahulu, Perdana Menteri dalam satu hantaran di media sosial pagi tadi, mahu rakyat Malaysia sama-sama memanfaatkan perayaan Deepavali untuk menyemai perpaduan dan memperteguh semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.
Beliau berkata, ia selari dengan semangat Pesta Cahaya yang penuh keceriaan dan menjadi lambang kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan menundukkan kejahatan serta kekuatan ilmu mengatasi kejahilan.
“Sebagai sebuah bangsa yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan, marilah kita terus memupuk semangat saling menghormati dan memperkukuh persefahaman antara satu sama lain.
“Gunakan kesempatan ini untuk menyemai perpaduan, menyantuni mereka yang memerlukan, dan memperteguh semangat kekitaan yang menjadi asas kekuatan negara,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA BUDI95 dah dapat ‘cekup’ siapa seludup RON95 ke Golok