Semangat juang pesilat Kuala Lumpur disemarak dalam majlis penyerahan bendera Wilayah Persekutuan

FOTO BERITA: Program Penyerahan Bendera Wilayah Persekutuan disempurnakan oleh YBhg Datuk Azman Abidin Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri merangkap Presiden Persatuan Silat Kebangsaan Kuala Lumpur kepada Kontinjen Pencak Silat Wilayah Persekutuan sempena Kejohanan Pencak Silat Kebangsaan di Dewan Mustafa Tahir, Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. 21hb Oktober 2025 (Selasa)

Program ini diadakan sempena penyertaan 58 pesilat kontinjen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam Kejohanan Silat Kebangsaan 2025, yang diadakan di Nilai Negeri Sembilan bermula dari 21hb sehingga 25hb Oktober menghimpunkan pesilat-pesilat terbaik dari seluruh negara.

Dalam ucapannya, Datuk Azman menyeru para atlet agar menampilkan semangat kesukanan yang tinggi serta menjadikan kejohanan ini sebagai wadah untuk mengharumkan nama Wilayah Persekutuan di peringkat kebangsaan.

“Bendera yang diserahkan hari ini bukan sekadar simbol penyertaan, tetapi lambang amanah dan maruah Wilayah Persekutuan. Bertandinglah dengan semangat juang tinggi, disiplin, dan integriti,” ujar beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Mohd Hanapiah Mat Amin Naib Presiden 1 PUSAKA Kuala Lumpur, Mahadir Mohd Yunus Pengurus Kebangsaan Kuala Lumpur barisan jurulatih kontinjen, wakil-wakil daripada Persatuan Silat Wilayah Persekutuan serta pegawai-pegawai sukan

Penyerahan bendera ini diakhiri dengan laungan semangat oleh para pesilat dan sesi bergambar kenangan bersama YBhg Datuk Azman Abidin, sebagai simbolik permulaan misi kontinjen Wilayah Persekutuan ke medan Kejohanan Pencak Silat Kebangsaan 2025.