Guru tidak boleh berjuang seorang diri, komuniti perlu prihatin — Haikal

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Muhammad Haikal Mohd Hatta Tim. Biro Pendidikan Mahasiswa AMK semasa kempen #KitaJagaSekolahKita. selepas pertemuan bersama YB Puan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia oleh Biro Pendidikan & Mahasiswa AMK Malaysia di Blok E8, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. 21hb Oktober 2025 Selasa (Gambar Biro Pendidikan Mahasiswa AMK)

Timbalan Biro Pendidikan Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Haikal Mohd Hatta, menegaskan bahawa isu buli di sekolah perlu ditangani secara menyeluruh dan berasaskan tanggungjawab bersama, bukan sekadar reaksi sementara setiap kali berlaku insiden. (

Beliau berkata, isu buli bukan hanya masalah disiplin pelajar, tetapi cerminan kepada ekosistem pendidikan negara yang memerlukan perhatian, pembaikan serta pendekatan penuh kasih sayang daripada semua pihak. “Kita semua tahu, isu buli bukan perkara baharu. Namun, apa yang membimbangkan ialah setiap kali kes buli berlaku, kita hanya marah seketika, kemudian ia senyap semula seolah-olah tiada apa yang berubah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kempen #KitaJagaSekolahKita yang digerakkan oleh pihaknya bukan sekadar slogan atau kempen bermusim, tetapi gerakan hati yang menyeru agar sekolah dilihat sebagai tanggungjawab seluruh masyarakat, bukan hanya guru.

“Keselamatan pelajar adalah amanah kita semua — bermula daripada ibu bapa di rumah, guru di sekolah, pemandu bas, pengawal keselamatan, pengusaha kantin, tukang kebun, tukang cuci, dan murid-murid itu sendiri. Apabila semua pihak berganding tangan, barulah sekolah benar-benar menjadi tempat yang selamat untuk belajar, membesar dan bermimpi,” ujar beliau.

Kempen ini menampilkan enam langkah utama di bawah tiga teras penting: Pencegahan, Pemulihan dan Pemantauan, iaitu kita mesti bertindak sebelum buli berlaku, latihan Trauma-Informed Education. Guru dan warden asrama perlu dilatih memahami tingkah laku pelajar melalui sudut trauma dan emosi, bukan hanya disiplin — dengan pendekatan mendidik, bukan menghukum.

Modul pendidikan ibu bapa – “Buli Bermula di Rumah” pendidikan nilai dan empati bermula dalam keluarga. Modul ini dicadang dilaksanakan melalui PIBG, komuniti dan media bagi membantu ibu bapa membimbing anak menjadi penyayang, bukan pembuli dan Reformasi kurikulum pendidikan sivik, moral dan empati perlu dipraktikkan melalui budaya sekolah seharian, bukan sekadar teori didik hati sebelum akal.

Wujudkan sistem bantuan kepada mangsa buli melalui khidmat kaunselor terlatih, pegawai psikologi bergerak dan saluran aduan yang selamat serta mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membentang pelan intervensi menyeluruh yang dibangunkan bersama pakar, ibu bapa, guru, NGO dan pelajar supaya pelaksanaannya benar-benar berkesan dan berperikemanusiaan. Yang terakhir pemantauan Bebas dan Telus di Sekolah
Melibatkan PIBG, alumni, polis komuniti dan NGO dalam sistem pemantauan aduan buli. Ini termasuk pemasangan CCTV di kawasan berisiko serta penubuhan unit khas siasatan buli di setiap sekolah. Pemantauan ini penting bukan untuk menghukum, tetapi untuk melindungi dan memulihkan keyakinan anak-anak.

Muhammad Haikal menegaskan, isu buli tidak boleh diselesaikan dengan menuding jari, tetapi dengan gerak kerja kolektif yang melibatkan semua pihak.

“Guru tidak boleh berjuang seorang diri. Ibu bapa perlu menjadi rakan kongsi sekolah. Komuniti mesti menjadi mata dan telinga yang prihatin. Inilah semangat #KitaJagaSekolahKita — bahawa keselamatan anak-anak bukan beban sesiapa, tetapi amanah semua,” katanya.

Beliau menutup kenyataan dengan menyeru agar seluruh masyarakat bersatu memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat dan berperikemanusiaan: “Kita jaga bersama. Kita pulih bersama. Kita pantau bersama. Kerana pada akhirnya, anak-anak ini bukan milik sekolah semata-mata mereka milik kita semua.”