Mahathir sedang melawan diri sendiri bukan Anwar Ibrahim

Oleh ARMADA JIWA

Mahathir hari ini sebenarnya sedang melawan diri sendiri, bukan melawan sesiapa pun.

Segala yang beliau tuding jari kepada orang lain, terutama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebenarnya adalah cerminan kepada dosa politik dan kesilapan yang beliau sendiri cipta selama berdekad-dekad pemerintahannya.

Dulu, ketika berkuasa lebih 20 tahun, Mahathirlah yang memecah-belahkan perpaduan orang Melayu dengan menanam politik kebencian dan perpecahan dalam parti-parti Melayu.

Dari UMNO asal, lahirnya UMNO Baru, kemudian muncul pula serpihan demi serpihan. Semua itu berpunca daripada ego dan kerakusan beliau mahu kekal berkuasa.

Mahathir juga yang membuka ruang kepada budaya kronisme dan nepotisme, mengkayakan segelintir kroni, anak-anak serta jaringan perniagaan yang mengaut kekayaan negara.

Ketika rakyat hidup sederhana dan ada yang sengsara, kelompok terpilih di sekelilingnya menikmati kemewahan luar biasa hasil dasar yang beliau cipta.

Itulah antara warisan terburuk zaman pemerintahannya.

Hari ini, apabila rakyat semakin celik dan tahu menilai sejarah, Mahathir cuba tampil sebagai “wira Melayu”, kononnya mahu membela nasib bangsa.

Namun realitinya, beliau sedang menggunakan nama Melayu untuk menutup luka lama yang dia sendiri toreh.

Dia menuduh orang lain gagal bela bangsa, padahal dia yang paling banyak meruntuhkan kepercayaan dan kekuatan politik Melayu selama ini.

Lebih menyedihkan, Mahathir masih belum mahu berhenti menjadikan Anwar Ibrahim sebagai modal politiknya.

Setiap kali beliau kehabisan hujah, nama Anwar dijadikan kambing hitam seolah-olah Anwar punca segala kelemahan dan masalah negara.

Sedangkan hakikatnya, Anwar kini sedang membaiki segala kerosakan dan penyelewengan yang diwariskan oleh Mahathir sendiri dan beberapa PM selepas beliau.

Dalam erti kata lain, Mahathir sedang melawan bayang-bayang ciptaannya sendiri.

Dia sedang menentang dasar yang pernah dia buat, sistem yang dia bina, dan pemikiran yang dia semai.

Semua tuduhan terhadap orang lain sebenarnya adalah pantulan kepada kegagalan dirinya sendiri sebagai bekas pemimpin yang terlalu lama memegang kuasa.

Sejarah tidak boleh dipadam, dan rakyat tidak lagi mudah diperbodohkan dengan retorik lama.

Hari ini, Mahathir bukan lagi simbol kekuatan, tetapi lambang kepada keangkuhan politik lama yang sedang ditelan masa.

Mahathir tidak sedang berperang dengan sesiapa. Dia sedang berperang dengan dirinya sendiri, dengan sejarah ciptaannya, dan dengan kebenaran yang semakin menghimpitnya.

BACA JUGA Suspek remaja bunuh pelajar di PJ dilanjut reman hingga bila?