Maritim Malaysia serang Masjid Rusila? Fitnah, pembohongan tanpa asas

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menafikan tuduhan bahawa agensi kendaliannya terlibat dalam serangan ke atas sebuah masjid di Terengganu.

Rosli berkata tuduhan tersebut sebagai fitnah yang berniat jahat, tidak berasas, menjejaskan imej pasukan keselamatan dan menjatuhkan moral operator pasukan elit negara.

“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi.

“Latihan yang dijalankan ketika itu hanyalah sebahagian daripada silibus Latihan taktikal pasukan khas kami,” kata beliau.

Pagi tadi Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa bahawa bahawa anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia melakukan serangan ke atas Masjid Rusila di Marang, Terengganu.

Takiyuddin membuat dakwaan tersebut ketika membahaskan RUU Perbekalan peringkat dasar di Dewan Rakyat.

Rosli menjelaskan bahawa pasukannya itu menjalani latihan modul Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat yang bertujuan untuk membentuk daya tahan, disiplin, dan kebijaksanaan anggota dalam berinteraksi dengan masyarakat ketika melaksanakan misi penyamaran.

“Masjid berkenaan hanya menjadi lokasi beriktikaf dan rehat para pelatih selepas menunaikan solat Asar sebelum menerima tugasan seterusnya.

“Pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku,” katanya.

BACA JUGA: Arahkan polis siasat, tahan Pengkalan Chepa