Kerajaan selaras kadar kompaun JPJ & PDRM mulai 1 Januari 2026

FOTO BERITA: Sidang Media oleh YB Anthony Loke Siew Fook Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama YB Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan penyelarasan kadar kompaun saman antara JPJ dan PDRM di Pusat Media Parlimen Malaysia Kuala Lumpur. 22hb Oktober 2025 (Rabu)

Kerajaan hari ini mengumumkan langkah penyelarasan kadar kompaun saman trafik antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pelaksanaan undang-undang jalan raya yang lebih seragam, adil dan efisien di seluruh negara.

Pengumuman tersebut dibuat dalam Sidang Media Bersama oleh Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail di Pusat Media Parlimen Malaysia hari ini.

Menurut YB Anthony Loke, penyelarasan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, dan melibatkan kadar serta kaedah kompaun yang diseragamkan antara dua agensi penguat kuasa utama tersebut. “Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mewujudkan sistem penguatkuasaan yang lebih konsisten dan mesra rakyat. Kini, tidak akan ada lagi perbezaan ketara antara kadar saman JPJ dan PDRM bagi kesalahan yang sejenis,” katanya.

Dalam masa yang sama, kerajaan turut memperkenalkan prinsip baharu ‘The Less You Delay, The Less You Pay’, yang memberi ganjaran kepada pengguna jalan raya yang menjelaskan saman lebih awal. Struktur kadar pengurangan baharu adalah seperti berikut, 1–15 hari 50% pengurangan. 16–30 hari 33% pengurangan. 31–60 hari kadar maksimum dan 61 hari ke atas tindakan mahkamah / senarai hitam.

YB Dato’ Seri Saifuddin Nasution menjelaskan bahawa inisiatif ini juga bertujuan menggalakkan pembayaran awal dan mengurangkan tunggakan saman yang selama ini membebankan sistem pentadbiran.

“Kerajaan mahu menanam sikap bertanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya. Dengan sistem baharu ini, mereka yang cepat membayar akan menikmati diskaun lebih tinggi, sementara yang culas akan berdepan tindakan tegas,” ujarnya.

Sebagai langkah persediaan, tempoh peralihan akan dilaksanakan dari 1 November hingga 30 Disember 2025, di mana orang ramai masih boleh menikmati diskaun antara 50% hingga 70% bagi saman sedia ada JPJ dan PDRM.

Orang ramai juga digalakkan untuk membuat semakan dan pembayaran melalui saluran rasmi seperti, portal MySIKAP, aplikasi MyJPJ, aplikasi MyBayar PDRM, kaunter dan kiosk JPJ serta saluran pembayaran PDRM

Kerajaan yakin langkah penyelarasan ini akan meningkatkan kecekapan pentadbiran, memudahkan urusan rakyat, serta mengukuhkan integriti dalam sistem penguatkuasaan undang-undang jalan raya negara. Tempoh peralihan bermula November diskaun 50–70% untuk saman sedia ada sebelum kadar baharu dilaksanakan Januari depan.