Tolak Kerajaan Perpaduan: Bukan Mahiaddin saja salah, Hadi juga bersama
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam program The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan kelmarin mendedahkan kegelojohan Tan Sri Mahiaddin Yasin dalam menolak usul Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Agong pada 22 November 2022.
Walau bagaimanapun, pemerhati politik Mohamed Hadi berpendapat bahawa untuk berlaku adil, sebenarnya kesilapan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu bukan kesilapan Tan Sri Mahiaddin seorang.
“Presiden Pas yang ada bersama-samanya ketika mengadap YDP Agong juga menolak usul Kerajaan Perpaduan. Mereka berdualah yang memikul beban kesilapan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, penolakan mereka berdua merupakan satu kesilapan memandangkan dua hari kemudian, Perikatan Nasional (PN) membuat pusingan U (U-turn) dan bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, ketika perubahan pendirian itu dibuat, Raja-Raja Melayu sedang bersidang di Istana Negara untuk memuktamadkan keputusan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
“U-turn PN ketika itu boleh disifatkan sebagai too little, too late. Ketika itu, keputusan sudah hampir dimuktamadkan dan Anwar mengangkat sumpah sebagai PMX pada petang hari yang sama,” katanya lagi.
Mohamed turut mempersoalkan prinsip sebenar di sebalik tindakan awal PN menolak cadangan tersebut, apabila akhirnya mereka berubah pendirian selepas melihat perkembangan politik semasa.
“Sekiranya penolakan terhadap Kerajaan Perpaduan benar-benar kerana prinsip, kenapa pula PN boleh u-turn? Maknanya prinsip boleh saja berubah kerana kuasa,” tegasnya lagi.
BACA JUGA Anak saudara isteri Hadi ingatkan YB Pas boleh cenderung syirik