Dakwaan Masjid Rusila diserbu ala-komando: Ini peringatan menteri

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa kejadian sebenar di Masjid Rusila di Marang, Terengganu pada 19 September lalu hanya melibatkan enam anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang singgah menunaikan solat Asar semasa menjalani latihan terancang.

Beliau berkata, insiden yang mencetuskan pertikaian ahli Parlimen pembangkang itu tidak sepatutnya disalahtafsirkan.

“Janganlah melebih-lebihkan satu program yang bertujuan melahirkan pasukan elit tanpa meneliti fakta sebenar.

“Perkara ini telah diurus dengan baik pada bulan lepas, namun tiba-tiba diberi gambaran seolah-olah berlaku serbuan komando masuk ruang solat dengan memakai kasut, sedangkan perkara ini amat sensitif,” tegasnya.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan kebimbangan berhubung latihan itu dengan mendakwa sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran sambil memakai kasut.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas ketika bercakap kepada pemberita di Dewan Rakyat berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan perwatakan, perlakuan, dan pergerakan amat mencurigakan sehingga menimbulkan keresahan awam.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, latihan APMM itu berlangsung dari Kuala Terengganu hingga ke Kuantan, Pahang dengan beberapa lokasi awam dijadikan checkpoint, dan Masjid Rusila adalah satu daripada tempat persinggahan untuk tujuan menunaikan solat semata-mata.

Menurut beliau, kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) setelah polis mendapati tiada sebarang kejadian luar biasa berlaku dan penerangan lengkap telah diberikan kepada pengurusan masjid berkenaan.

Justeru, beliau mengingatkan semua pihak supaya berpada-pada dalam membincangan perkara yang boleh menjejaskan tanggungjawab pasukan penguatkuasaan negara.

“Biar kita berlaku adil dalam menyampaikan maklumat, sama ada di dalam Dewan Rakyat atau di luar, supaya tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Negara kita perlu hidup aman dan damai, tetapi Parlimen digunakan untuk membangkitkan sentimen sebegini hanya demi keuntungan politik. Saya rasa lebih baik hentikan,” kata Saifuddin lagi.