Empat cadangan AMANAH tangani isu arak dalam penerbangan negara

AMANAH menegaskan isu hidangan arak oleh pramugari Muslim di syarikat penerbangan negara perlu ditangani dengan hikmah dan keseimbangan tanpa dipolitikkan.

Dalam kenyataan bersama, empat Ahli Parlimen AMANAH berkata, hal tersebut mesti diselesaikan mengikut tuntutan agama Islam serta mengambil kira realiti operasi industri penerbangan antarabangsa dan imej Malaysia sebagai negara Islam moden berteraskan konsep Rahmatan Lil Alamin.

“Islam mengajar umatnya agar setiap urusan ditangani dengan keadilan dan kebijaksanaan.

“Dalam konteks industri penerbangan, penyelesaian mesti mengambil kira sensitiviti pekerja Muslim tanpa menjejaskan keharmonian dan profesionalisme syarikat penerbangan negara yang beroperasi di pelbagai destinasi dunia,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan; Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat; Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof; dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.

Beradab dan inklusif

Pemimpin AMANAH berkata, isu tersebut bukan semata-mata berkaitan arak, sebaliknya mencerminkan bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara Islam menunjukkan model pengurusan beradab, inovatif dan inklusif.

Menurut ahli-ahli Parlimen AMANAH berkenaan empat cadangan itu bagi memastikan keseimbangan antara prinsip Islam dan keperluan operasi.

Pertama, AMANAH mencadangkan pelaksanaan sistem automasi ‘Smart Beverage Dispenser’ yang membolehkan penumpang bukan Islam menempah sendiri minuman beralkohol melalui skrin hiburan tanpa perlu pramugari Muslim menghidang secara langsung.

Jelasnya, arak perlu disimpan di dalam kabinet khas berkunci dan hanya boleh diakses selepas pengesahan umur serta status penumpang dibuat.

Selain itu, AMANAH mengesyorkan supaya tugas menghidang alkohol dikendalikan sepenuhnya oleh petugas bukan Muslim.

Syarikat penerbangan negara juga disaran supaya memperkenalkan zon khas halal dalam pesawat yang menyediakan beberapa barisan tempat duduk tanpa hidangan arak untuk penumpang Muslim yang memilih suasana bebas alkohol.

Pemimpin AMANAH terbabit turut mencadangkan sistem hidangan arak secara ‘opt-in’, iaitu alkohol tidak lagi ditawarkan secara automatik sebaliknya hanya diberikan kepada penumpang yang membuat permintaan khas.

“AMANAH menyeru semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu berkenaan sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap syarikat penerbangan negara dan kakitangannya.

“Pendekatan Islam bukan dengan menimbulkan kekeliruan dan pertikaian, tetapi dengan menawarkan penyelesaian yang praktikal, berakhlak dan berpandangan jauh,” kata mereka lagi.

BACA JUGA Saifuddin sahkan pasport menantu Mahiaddin sudah dibatalkan