Malaysia pimpin Sidang Kemuncak ASEAN dengan prinsip, keyakinan
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal bermula hujung minggu ini bakal mencatat sejarah baharu bukan sahaja dengan kehadiran pimpinan dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Brazil dan Afrika Selatan, malah menandakan kebangkitan semula semangat ASEAN.
Perdana Menteri berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan memimpin dengan prinsip dan keyakinan selain terus mempertahankan Kepusatan ASEAN, memperkukuh perdagangan bebas serta memperjuangkan keamanan serantau.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia komited membawa suara Negara-Negara Selatan ke pentas global termasuk dalam isu Gaza di mana Malaysia konsisten menuntut keadilan, keamanan berkekalan dan maruah kemanusiaan.
“Sidang kali ini juga amat bersejarah kerana ASEAN akan meraikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11, lambang keterangkuman dan semangat kekeluargaan rantau ini yang semakin utuh.
“Dalam masa sama, Malaysia menegaskan pentingnya memperkukuh dialog dan persefahaman antara Thailand dan Kemboja dalam menangani isu-isu berbangkit selaras dengan semangat diplomasi damai dan perpaduan ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia kekal menyokong usaha damai di Myanmar melalui pendekatan diplomasi berprinsip dan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara demi keamanan dan kesejahteraan rakyatnya.
“Saya yakin kerjasama erat antara kerajaan dan media akan memperkukuh kefahaman rakyat terhadap peranan Malaysia sebagai negara yang memimpin dengan hikmah, berprinsip dalam pendirian dan berani memperjuangkan keadilan sejagat,” ujarnya