MHO dedah 69 pembeli rugi lebih RM44 juta akibat Skim Pulangan Sewa Terjamin (GRR) tidak dikawal selia

FOTO BERITA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan bahawa seramai 69 pemilik unit hartanah mendakwa menjadi mangsa kepada sebuah syarikat yang menawarkan skim Pulangan Sewa Terjamin atau Guaranteed Rental Return (GRR), dengan jumlah keseluruhan pembelian mencecah RM44.6 juta. Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, berkata pihaknya menerima aduan daripada individu yang mendakwa diperdaya oleh syarikat berkenaan selepas dijanjikan pulangan sewa tetap dan jaminan pembelian semula unit hartanah, namun sehingga kini janji tersebut tidak ditunaikan.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat dan siasatan awal, mangsa-mangsa mendakwa telah dimanipulasi untuk membeli unit di bawah projek pembangunan yang dijalankan oleh syarikat terbabit. Malah, terma berkaitan GRR didakwa tidak dimasukkan dalam mana-mana perjanjian yang ditandatangani oleh peserta sebelum pembelian dilakukan. “Apabila isu ini dibangkitkan kepada pihak syarikat, maklum balas yang diterima oleh pembeli hanyalah penjelasan umum tanpa sebarang pengesahan terperinci,” katanya

Dato’ Hishamuddin turut menjelaskan bahawa skim GRR mula diperkenalkan sekitar tahun 2000 dan biasanya menawarkan pulangan antara 8% hingga 12% setahun daripada nilai pasaran hartanah, selain janji pengurusan penuh serta pembelian semula unit oleh syarikat selepas tempoh tertentu.

Namun begitu, menurut nasihat panel peguam MHO, skim GRR tidak dikawal selia oleh mana-mana agensi penguatkuasaan, menjadikannya berisiko tinggi dan terdedah kepada penipuan. “Skim seperti ini membolehkan pelabur ditipu tanpa perlindungan undang-undang mencukupi. Malah ada syarikat yang bertindak menutup operasi atau melakukan voluntary winding up bagi mengelak tanggungjawab apabila pelabur menuntut hak mereka,” tambah beliau.

Difahamkan, mangsa-mangsa telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak awal September 2025 bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 (Seksyen 4(2)), namun sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang maklum balas.

Susulan itu, para mangsa turut hadir hari ini untuk membuat aduan rasmi kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memohon campur tangan dan perlindungan daripada agensi penguatkuasaan lain. “Tindakan ini bukan bertujuan menyusahkan mana-mana pihak, tetapi untuk memastikan hak mangsa sebagai pengguna dilindungi daripada pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain,” tegas beliau. MHO dalam pada itu menyeru agar agensi penguatkuasaan berkaitan bertindak segera dan tegas terhadap pihak yang menawarkan skim pelaburan GRR secara tidak sah, bagi memastikan keadilan dan hak mangsa terbela. “Kami berharap pihak berkuasa bukan sahaja menyiasat dan mengambil tindakan terhadap syarikat terlibat, tetapi turut memperkenalkan langkah pencegahan berkesan supaya skim seperti ini tidak terus menjerat pelabur lain pada masa hadapan,” katanya lagi.

“Tindakan ini bukan bertujuan menyusahkan mana-mana pihak, tetapi untuk memastikan hak mangsa sebagai pengguna dilindungi daripada pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain,” tegas beliau. MHO dalam pada itu menyeru agar agensi penguatkuasaan berkaitan bertindak segera dan tegas terhadap pihak yang menawarkan skim pelaburan GRR secara tidak sah, bagi memastikan keadilan dan hak mangsa terbela. “Kami berharap pihak berkuasa bukan sahaja menyiasat dan mengambil tindakan terhadap syarikat terlibat, tetapi turut memperkenalkan langkah pencegahan berkesan supaya skim seperti ini tidak terus menjerat pelabur lain pada masa hadapan,” jelas beliau lagi.