Saifuddin sahkan pasport menantu Mahiaddin sudah dibatalkan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pasport menantu Tan Sri Mahiaddin Yassin yang melarikan diri ke luar negara, sudah pun dibatalkan.

Menurutnya, pembatalan pasport Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan dilakukan oleh Jabatan Imigresen.

“Sudah, sudah (pasport Muhammad Adlan sudah dibatalkan. Saya diberi faham oleh Jabatan Imigresen bahawa SPRM pernah mengangkat permohonan untuk membatalkan permohonan individu tersebut (menantu Muhyiddin).

“Hal itu (pembatalan pasport) telah pun dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen. Yang itu saya boleh sahkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi 2025 KDN, di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, Saifuddin tidak menyatakan bila pembatalan pasport itu dibuat.

Terdahulu, SPRM memaklumkan bahawa Adlan dipercayai tinggal di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

Adlan, 49, meninggalkan Malaysia menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah.

Dia yang yang menjadi buruan itu dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.

New Straits Times (NST) memetik sumber melaporkan Adlan kerap keluar masuk negara Arab itu untuk perjalanan ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.

Foto-foto yang dikongsi kepada NST antara lain memaparkan Adlan bersama beberapa kenamaan dari Asia Barat.

Dalam salah satu gambar itu, kelihatan potret seorang pemimpin negara tersebut.

BACA JUGA Sanusi tarik balik kenyataan fitnah, Anwar setuju tarik balik saman