8,400 Kedai Rakan Niaga SARA:Kedai Runcit Kampung Tidak Tertinggal Dalam Program SARA

Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus menunjukkan keberkesanan dan perluasan capaian apabila jumlah rakan niaga yang terlibat meningkat mendadak kepada 8,400 kedai di seluruh negara, berbanding hanya 700 kedai pada tahun lalu.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, perkembangan ini bukan sekadar angka, tetapi cerminan kepada dasar inklusif kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat bantuan benar-benar sampai hingga ke akar umbi termasuk kedai runcit di kampung dan pedalaman.

Beliau menjelaskan, pertambahan rakan niaga SARA merangkumi pasar raya, kedai koperasi, kedai runcit persendirian dan pasar mini di seluruh negara.

Strategi ini dirangka bagi memudahkan penerima SARA membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad di premis berhampiran tanpa perlu ke bandar besar.

“Program SARA di lapangan turut dilaksanakan bersama Program Jualan Rahmah bagi memperluas capaian dan memastikan kedai runcit di luar bandar turut menerima limpahan manfaat ekonomi,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.

Pendekatan ini membuktikan bahawa kerajaan tidak mahu hanya syarikat besar di kawasan bandar menikmati kesan langsung daripada perbelanjaan awam.

Sebaliknya, kedai runcit kampung juga diangkat sebagai pemain utama dalam ekosistem bantuan rakyat.

Ia bukan sahaja memberi akses mudah kepada penerima bantuan, tetapi turut menghidupkan semula ekonomi tempatan melalui peningkatan jualan barangan asas.

Menariknya, pemilihan rakan niaga SARA turut mengambil kira bilangan penerima dalam radius 10 kilometer, agar peluang lebih seimbang dapat diberikan kepada kedai runcit tempatan.

Kerajaan juga melaksanakan sesi libat urus bersama persatuan dan agensi untuk memperluaskan penyertaan koperasi dan peniaga kecil.

Antara yang berjaya menjadi rakan niaga termasuk Koperasi Penjara Berhad, Koperasi FELCA dan Koperasi FELDA Sungai Koyan 2.

Pendek kata, di bawah pentadbiran MADANI, program bantuan bukan sahaja menumpu kepada penerima, tetapi turut memperkasakan penggerak ekonomi tempatan.

Di sinilah bezanya falsafah MADANI yang tidak hanya diukur pada jumlah bantuan diterima, tetapi pada sejauh mana manfaatnya mengalir ke seluruh lapisan masyarakat