Bimbang aliran bekalan ikan terjejas dalam musim tengkujuh? Ini jawapan LKIM

Aliran bekalan ikan dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia tidak terjejas teruk menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula awal November ini.

Ini kerana pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia tidak menerima sebarang laporan daripada persatuan nelayan berhubung isu nelayan yang tidak menangkap ikan kerana laut bergelora.

“Jika dibandingkan pada Oktober tahun lalu, negeri di Pantai Timur sudah dilanda banjir. Namun, ketika ini cuaca dikatakan masih baik dan hanya sekali sekala sahaja hujan berlaku terutamanya pada sebelah petang.

“Malah, mengikut maklumat yang diperolehi setakat ini, semua jenis bot termasuk kelas A (di pantai barat) kelas B dan juga C serta C2 termasuk juga nelayan-nelayan di persisiran pantai masih boleh turun ke laut,” kata pengerusinya Faiz Fadzil Majlis Ramah Mesra MADANI bersama nelayan Kota Bharu sempena perasmian stesen minyak mudah alih Persatuan Nelayan Kawasan Kota Bharu di Petron PCS, Kuala Besar.

Bagaimanapun LKIM telahpun mengambil langkah kesiapsiagaan untuk berdepan sebarang kemungkinan.

Sebanyak 116.78 metrik tan (MT) bekalan ikan QFISH turut ditempatkan di lima penyimpan sebagai bekalan ikan untuk seluruh negara. Setiap bekalan mampu bertahan antara tiga hingga enam bulan.

“Bekalan di Ibu Pejabat Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) adalah sebanyak 12.50 MT, Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (0.92 MT), Persatuan Nelayan Negeri Selangor (1.10 MT), Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (3.76 MT) dan Persatuan Nelayan Kawasan Besut (98.50 MT).

“Berdasarkan data juga, keseluruhan pendaratan bekalan ikan dalam negara mencatatkan kenaikan sebanyak 1.5 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya. Kelantan mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 29 peratus diikuti Melaka 23.3 peratus dan Perlis sebanyak 18.5 peratus,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata Malaysia dijangka tidak berdepan cuaca ekstrem pada musim tengkujuh ini dan fenomena La Nina diramalkan lemah.

Tempoh La Nina juga singkat dan dijangka bermula akhir tahun ini hingga Februari 2026.