Ewon masih menteri, belum letak jawatan

Perdana Menteri mengesahkan belum menerima notis daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang didakwa mahu meletak jawatan dalam Kabinet.

“Datang… datang,” jawab Datuk Seri Anwar Ibrahim ringkas apabila ditanya media sama ada Ewon menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi.

Beliau juga berkata, “Belum lagi” ketika ditanya sama ada Ewon akan melepaskan jawatan Menteri.

Terdahulu, Ewon dilaporkan bersedia untuk melepaskan jawatan menteri jika Jabatan Peguam Negara (AGC) merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak Sabah ke atas perkongsian hasil Persekutuan dari negeri itu.

Ewon pada konvensyen Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang baru-baru ini berkata, sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri serta dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri lain mengenai pendiriannya.

Jelas Presiden UPKO itu, keputusan berkenaan selaras dengan resolusi yang diluluskan Konvensyen UPKO Bahagian Penampang sebelum ini, yang menuntut beliau berundur daripada Kabinet jika AGC meneruskan rayuan terbabit.

Pada 18 Oktober lalu, AGC memaklumkan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas Negeri Sabah sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.

AGC menyatakan mahkamah pada 17 Oktober memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah perlu menjalankan satu lagi semakan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2022.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mendapati kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir 50 tahun.

Mahkamah juga mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan berhubung tuntutan pemberian khas 40 peratus hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Arahan itu dikeluarkan selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah berhubung hak perlembagaan negeri itu untuk menuntut 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.

Kes itu tertumpu kepada tafsiran Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan Perkara 112C menyentuh geran khas serta agihan hasil kepada Sabah dan Sarawak, manakala Perkara 112D menetapkan semakan berkala terhadap geran tersebut.

BACA JUGA Anggota APMM yang singgah di ‘Masjid Tok Guru Hadi Awang’ kecewa difitnah Pas