Ini sebabnya Bersatu Terengganu tempelak Anina Saadudin
Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu menolak keras dakwaan bahawa Presiden parti, Tan Sri Mahiaddin Yassin, bersifat diktator seperti yang dilaporkan hasil kenyataan bekas pemimpin parti, Anina Saadudin (gambar atas).
Dalam satu kenyataan media hari ini, Setiausaha Bersatu Terengganu, Badrolhisham Mohd Shafie menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan dangkal.
Beliau juga berpendapat tuduhan tersebut menunjukkan bahawa Anina tidak memahami proses dalaman serta perlembagaan parti.
“Kenyataan beliau tidak selayaknya dibuat oleh seseorang yang mendakwa dirinya pengasas parti tetapi gagal memahami proses yang telah dilalui seperti termaktub dalam perlembagaan,” katanya.
Badrolhisham menjelaskan bahawa Lembaga Disiplin Bersatu ditubuhkan melalui pelantikan yang dipersetujui oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), yang turut dianggotai oleh Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Lembaga Disiplin, katanya, merupakan badan bebas yang diberi kuasa menjalankan prosiding, siasatan dan menjatuhkan hukuman berdasarkan aduan serta bukti yang diterima.
“Mereka yang dikenakan tindakan telah dimaklumkan mengenai aduan terhadap mereka, diberikan ruang membela diri, dan dihukum atas pelanggaran perlembagaan serta peraturan parti termasuk Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Parti,” jelasnya.
Tambahnya lagi, setiap ahli mempunyai hak untuk membela diri dan membuat rayuan sekiranya berpendapat hukuman yang dijatuhkan tidak adil.
Namun, beliau menegaskan bahawa sebahagian pihak lebih memilih untuk memainkan naratif ‘play victim’ berbanding menggunakan saluran rayuan yang sah.
“Ahli-ahli Bersatu perlu memberi ruang dan kepercayaan penuh kepada Lembaga Disiplin untuk melaksanakan tugas berdasarkan perlembagaan dan peraturan parti,” katanya.
Mengulas isu pemansuhan jawatan Pengerusi Parti, Badrolhisham menjelaskan bahawa pindaan terhadap perlembagaan Bersatu telah dibuat dan dipersetujui sebulat suara oleh para perwakilan dalam Persidangan Agung Parti, selaras dengan perkembangan politik semasa.
“Pandangan Anina berkaitan fungsi Pengerusi hanyalah pendapat peribadi beliau semata-mata,” tegasnya lagi.
BACA JUGA Megah-1 gegar dunia tenaga, penemuan terbesar Petronas dalam 20 tahun