Krisis Kepimpinan Universiti: Ketika Isu Remeh Mengatasi Akal Budi Ilmu
Di mana letaknya maruah institusi pengajian tinggi jika para pemimpinnya lebih sibuk menjawab dan melayan isu-isu remeh di media sosial berbanding mengangkat martabat ilmu dan kecemerlangan akademik? Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dunia akademia tempatan (awam atau swasta) mula menampakkan krisis kepimpinan yang menghakis wibawa institusi pengajian tinggi — bukan kerana kekurangan dana atau pelajar, tetapi kerana kehilangan hikmah dan keutamaan dalam berfikir serta bertindak.
Sindrom Reaktif Media Sosial
Pemimpin menara gading atau dibarat diistilah sebagai IVORY TOWER seharusnya menjadi tiang ketenangan dan rasionalisasi dalam menghadapi tekanan luar. Namun kini, segelintir pimpinan lebih pantas memberikan reaksi terhadap hantaran media sosial yang remeh — sama ada kritikan individu, gosip dalaman, atau aduan kecil yang sepatutnya diselesaikan di meja pentadbiran, bukan di ruang maya.
Fenomena ini menandakan krisis kepercayaan diri dan ketidakmatangan kepimpinan akademik. Apabila naib canselor atau rector bertindak balas secara terbuka terhadap isu picisan, mereka bukan sahaja merendahkan martabat institusi, tetapi turut menyeret universiti ke gelanggang populisme digital.
Seorang sarjana tidak perlu “menang berhujah” di Facebook atau TikTok, tetapi mesti menang dengan akal budi dan ketenangan ilmu. Sarjana harus menggunakan meja rundingan diplomasi untuk menyelesaikan kemelut dalaman dengan menggunakan akal budi yang tenang.
Kepimpinan Universiti Bukan Pentas Populariti
Kepimpinan universiti bukanlah tentang populariti, tetapi kebijaksanaan mentadbir dunia ilmu dan manusia berakal. Apabila seorang pentadbir universiti gagal membezakan antara isu strategik dan isu remeh, seluruh sistem hilang arah. Banyak masalah kecil yang boleh diselesaikan secara dalaman menjadi besar kerana keghairahan mungkin untuk mencari publisiti, bukan penyelesaian.
Universiti bukan kementerian penerangan atau pejabat politik. Ia adalah benteng intelektual dan moral bangsa. Maka, tindakan pimpinan yang terlalu sibuk menjawab tuduhan di media sosial, memberi kenyataan emosional, atau melayan polemik tidak berasas menunjukkan kerapuhan dalam memahami fungsi cendekiawan — sebagai penenang, bukan penyemarak api.
Kecerdasan Pentadbiran vs. Kecerdasan Akademik
Tidak semua yang pandai menulis jurnal atau jaguh debat layak mentadbir universiti. Kecerdasan akademik tidak semestinya beriringan dengan kecerdasan pentadbiran dan kepimpinan. Ramai sarjana cemerlang yang gagal menjadi pemimpin baik kerana mereka tidak memiliki kebijaksanaan mengurus manusia dan emosi.
Sebaliknya, ada pentadbir sederhana dari segi akademik, tetapi berjaya mengekalkan keharmonian dan ketertiban organisasi kerana memahami nilai sabar, timbang rasa, dan empati. Inilah nilai “adab ilmiah” yang menjadi asas kepada tradisi keilmuan Islam dan juga kepada konsep universitas asal di Barat — yakni kesatuan ilmu, etika, dan tanggungjawab sosial.
Ilmu dan Pentadbiran: Dua Sayap Universiti
Kecemerlangan universiti bergantung pada keseimbangan antara ilmu dan pentadbiran. Jika pentadbir tidak menghormati ilmu, mereka akan menjadikan universiti sebagai birokrasi kaku yang menindas kebebasan akademik. Jika ahli akademik pula gagal memahami tatakelola, mereka akan menjadikan universiti sebagai ruang ego dan perbalahan tanpa hala.
Kepimpinan universiti seharusnya menjadi jambatan antara dua dunia ini — bukan penghasut kepada konflik dalaman. Sebarang isu kecil seperti aduan staf, pelajar, atau konflik jabatan, sepatutnya diselesaikan melalui sistem pentadbiran yang matang, bukan dengan kenyataan terbuka yang mencalarkan reputasi institusi.
Kembalikan Adab dan Hikmah Kepada Dunia Akademia
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, “Jika Amanah telah disia-siakan, tunggu Sahaja kehancuran terjadi.” Ada seorang sahabat bertanya. “bagaimana maksud amanat disia-siakan?” Nabi menjawab, “Jika urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.” (Hadis Sahih al-Bukhari).
Hadis ini seharusnya menjadi peringatan keras kepada semua institusi pendidikan tinggi. Apabila jawatan utama universiti diberikan kepada individu yang tidak memahami ekosistem ilmu, tidak memiliki visi akademik, dan terlalu mudah tersentuh dengan kritikan, maka rosaklah universiti dari dalam.
Oleh itu, sudah sampai masanya institusi pengajian tinggi (awam atau swasta) di Malaysia dinilai semula kriteria pelantikan kepimpinannya. Fokus mesti beralih daripada politik dalaman dan citra media sosial kepada visi keilmuan yang sejati — membina masyarakat berfikir, beradab, dan berintegriti.
Kesimpulan
Kepimpinan universiti bukan sekadar mengurus bajet atau menandatangani surat pelantikan, tetapi mencipta iklim yang menumbuhkan hikmah dan berakal budi tinggi. Jika pemimpin universiti terus menjadikan media sosial sebagai gelanggang balas dendam dan pengesahan diri, mereka sedang menulis epitaf kehancuran universiti dengan tangan sendiri.
Universiti mesti kembali kepada roh asalnya — tempat lahirnya ilmu dan akal budi, bukan pentas drama siber.