MHO serah aduan kepada SKM berhubung koperasi didakwa tawarkan pelaburan palsu kerugian mencecah RM2.4 Juta

FOTO BERITA : Serahan dokumen kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) & Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengenai koperasi disyaki tipu mangsa di Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Changkat Semantan, Off Jalan Semantan, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. 24hb Oktober 2025 (Jumaat)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menerima aduan rasmi daripada 32 ahli sebuah koperasi terkemuka di Semenanjung Malaysia yang mendakwa diri mereka telah menjadi mangsa penipuan pelaburan melibatkan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM2,423,203.80.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, para pengadu mendakwa telah diperdaya untuk menyertai beberapa program pelaburan yang ditawarkan oleh koperasi tersebut, antaranya termasuk pelaburan mesin sejuk beku, pelaburan papan iklan, dan pelaburan simpanan emas. Namun, siasatan awal mendapati program-program berkenaan disyaki tidak wujud, dan wang pelaburan tersebut dipercayai telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam koperasi itu.

“Kesemua pengadu merupakan ahli berdaftar dengan koperasi berkenaan, memandangkan pelaburan yang ditawarkan adalah eksklusif kepada ahli sahaja. Mereka tertarik untuk menyertai setelah dijanjikan pulangan pelaburan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, janji pulangan tersebut tidak ditunaikan, malah modal pelaburan turut lesap tanpa sebarang penjelasan. Para mangsa telah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada penghujung tahun 2023. Hasil maklum balas diterima pada Ogos 2025 memaklumkan bahawa laporan tersebut telah diklasifikasikan sebagai “Rujuk Lain Agensi” kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Sehubungan itu, para pengadu hari ini hadir bersama MHO untuk menyerahkan aduan rasmi kepada SKM, bagi membolehkan siasatan menyeluruh dan telus dijalankan di bawah Akta Koperasi 1993.

“Para mangsa menuntut agar pihak SKM mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat bukti penyelewengan amanah, pelanggaran undang-undang atau salah laku dalam pengurusan koperasi tersebut,” tambah Dato’ Hishamuddin.Beliau turut menyeru agar mekanisme pemantauan dan kawal selia terhadap koperasi di seluruh negara diperkukuh, bagi mengelakkan lebih ramai rakyat menjadi mangsa penipuan pelaburan atas nama koperasi pada masa hadapan. Beliau turut menyeru agar mekanisme pemantauan dan kawal selia terhadap koperasi di seluruh negara diperkukuh, bagi mengelakkan lebih ramai rakyat menjadi mangsa penipuan pelaburan atas nama koperasi pada masa hadapan.

MHO menegaskan komitmen mereka untuk terus membela hak dan kepentingan ahli koperasi serta mangsa penipuan kewangan, dengan kerjasama erat bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia, PDRM dan agensi penguatkuasaan lain.