Pemuda AMANAH sokong pendirian Anwar larang hidang arak di dewan sekolah
Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Kepala Batas menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung larangan minuman beralkohol dihidangkan di dewan sekolah Cina.
Ketuanya, Abrar Sadiq, menegaskan bahawa sekolah ialah tempat membentuk sahsiah dan ilmu, bukannya medan hiburan yang melanggar nilai pendidikan.
“Kami faham bahawa sekolah jenis Cina banyak berdikari dan sering menganjurkan majlis makan malam bagi kutipan dana.
“Namun, kemandirian itu tidak bermakna bebas daripada undang-undang dan etika pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abrar turut menolak kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng, yang sebelum ini menyifatkan larangan tersebut sebagai tindakan “menjolok sarang tebuan”.
“Kenyataan sedemikian tidak wajar, tidak sensitif dan boleh menjejaskan keharmonian kaum,” tegasnya.
Dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri menegaskan sebarang aktiviti membabitkan arak dan perjudian tidak boleh sama sekali diadakan di dewan sekolah.
Anwar berkata, tindakan itu jelas melanggar konsep dan falsafah pendidikan negara, dengan dewan sekolah tidak boleh digunakan untuk kegiatan yang melanggar peraturan sekolah.
Beliau berkata, larangan aktiviti membabitkan arak dan perjudian di sekolah itu bukan bertujuan untuk melarang hak orang bukan Islam.
“Sekolah ini tempat didikan, ilmu, moral dan nilai… kita minta rakan-rakan bukan Islam kita faham. Ini sekolah, termasuk sekolah-sekolah bukan Islam.
“Anak-anak bukan Islam, tidak diajar dari kecil untuk minum arak atau berjudi, Jadi budaya itu, mesti budaya Malaysia keseluruhannya. Di luar, itu hak mereka, tidak langsung kita hendak pertikai. Buatlah di dewan lain,” kata Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Abrar berkata, isu tersebut bukan berkisar kepada agama semata-mata, tetapi menyentuh soal maruah serta integriti institusi pendidikan negara.
“Larangan ini bukan soal agama, tetapi soal maruah institusi pendidikan.
“Kami berdiri teguh bersama Perdana Menteri dalam mempertahankan nilai dan akhlak di sekolah,” tegas Abrar lagi.
BACA JUGA Anggota APMM yang singgah di ‘Masjid Tok Guru Hadi Awang’ kecewa difitnah Pas