PLUS perkenal sistem baharu di plaza tol, mudahkan perjalanan

Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) memperkenalkan sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) yang disokong platform digital bersepadu.

Projek rintis sistem baharu itu membabitkan laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua di Pulau Pinang.

Menerusi ANPR, pengguna bebas memilih mana-mana lorong tol tanpa perlu berhenti, sekali gus menjanjikan perjalanan lebih lancar dan fleksibel.

Pengguna hanya perlu mendaftar secara dalam talian menggunakan maklumat pengenalan diri, kenderaan dan kaedah pembayaran.

Selepas nombor pendaftaran dibaca, kadar tol akan ditolak secara automatik dalam akaun yang telah didaftarkan.

Sistem ANPR adalah langkah awal ke arah pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) dalam tempoh dua tahun akan dating.

Ia bagi mengatasi masalah kesesakan di plaza tol di lebuh raya utama di negara ini.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan sebagai permulaan, ANPR akan diuji di 13 plaza tol membabitkan 35 lorong sebelum diperluas secara berperingkat ke keseluruhan jajaran PLUS.

Beliau berkata, sistem ANPR mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan melalui kamera dan membolehkan bayaran tol dibuat secara digital tanpa tunai.