Wanita MyWira Accelerator Perkasa Penyertaan Ekonomi Wanita Malaysia

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Wanita MyWira Accelerator Malaysia dirasmikan bersama oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan YB Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia (KESUMA) disaksikan oleh Yang Amat Mulia Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Tunku Besar Seri Menanti di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. 23hb Oktober 2025 (Khamis)

Malaysia melakar sejarah baharu dalam agenda kesaksamaan gender dengan pelancaran Wanita MyWira Accelerator, inisiatif nasional untuk memperkasa penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan sektor berimpak tinggi menjelang 2030.

Majlis pelancaran di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bersama YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia, dan disaksikan oleh YAM Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Tunku Besar Seri Menanti.

Program ini diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum). Malaysia turut menjadi negara ASEAN pertama menyertai Rangkaian Global Gender Parity Accelerator, platform antarabangsa yang menyokong peningkatan penyertaan ekonomi wanita.

YB Steven Sim menegaskan bahawa inisiatif ini adalah langkah penting ke arah ekonomi berteraskan bakat dan inklusif, sejajar dengan dasar baharu kerajaan yang memberi insentif cukai kepada majikan dan pekerja bagi menyokong keseimbangan kerja dan keluarga.

“Melalui TalentCorp, kita sedang melatih wanita Malaysia untuk menyertai sektor masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hijau. Wanita MyWira Accelerator adalah platform strategik untuk memastikan bakat wanita sejajar dengan keperluan ekonomi masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa pelbagai dasar baharu telah diperkenalkan untuk menyokong keluarga bekerja, termasuk hak kepada Aturan Kerja Fleksibel (AKF), potongan cukai sehingga RM500,000 bagi majikan yang melaksanakan AKF, serta potongan cukai 50% bagi cuti bergaji untuk penjagaan keluarga. Belanjawan 2026 juga memperluaskan pelepasan cukai penjagaan anak kepada kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun.

“Melalui Wanita MyWira Accelerator, kerajaan ingin menghapuskan halangan kepada penyertaan wanita dalam tenaga kerja — melalui latihan untuk pekerjaan fleksibel, mempromosikan tempat kerja mesra penjagaan anak dan meningkatkan peluang pekerjaan, khususnya di luar bandar,” ujar beliau.

Sementara itu, YB Nancy Shukri menekankan bahawa Wanita MyWira menjadi tonggak kepada pelaksanaan Dasar Wanita Negara 2025–2030, dalam memastikan wanita mempunyai laluan sebenar untuk memperoleh pekerjaan bermaruah dan menyumbang kepada pembangunan negara.

“Menerusi Wanita MyWira, bersama KESUMA dan TalentCorp, kita sedang membina laluan sebenar untuk wanita memperoleh pekerjaan bermaruah serta menyumbang sepenuhnya kepada ekonomi negara. Usaha ini memperkukuh Dasar Wanita Negara 2025–2030 dan visi MADANI berteraskan kasih sayang dan kemakmuran bersama,” katanya.


Menurut data, jurang gaji antara gender di Malaysia telah menurun kepada RM18 pada 2025 berbanding RM211 pada 2023, namun kadar penyertaan tenaga kerja wanita masih 56.2%, di bawah sasaran nasional 60%.

Pelaksanaan MyWira Accelerator akan dibimbing oleh Jawatankuasa Pemandu Bersama yang dianggotai pemimpin utama sektor awam dan swasta, termasuk Tunku Ali Redhauddin, Aireen Omar (BigPay), Dr Jasmine Begum (Microsoft), dan Anne Abraham (LeadWomen).

Program ini dijangka memperkasa lebih 100,000 wanita menjelang 2030, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dalam membina ekosistem pekerjaan yang inklusif, progresif dan responsif gender.