Duo Wan anggap Mahiaddin tak layak jadi PM, Azmin dalang sebenar

Dua bekas pemimpin Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal masing-masing Ahli Parlimen Tasek Gelugor dan Machang dilihat terus menelanjangkan kepimpinan parti itu dalam audio siar PODaBOOM.

Dalam sesi tersebut, kedua-duanya secara terbuka menuduh kepimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai lemah dan tidak berprinsip.

Dalam masa sama, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa menjadi dalang utama di sebalik krisis dalaman yang melanda Bersatu.

Wan Fayhsal berkata, dia digantung keahlian tanpa perbicaraan yang adil selepas menegur Azmin kerana tidak membawa Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam jelajah parti.

Bekas Ketua Armada Nasional iaitu sayap pemuda Bersatu berkenaan turut menuduh Mahiaddin gagal berunding dalam keputusan penting.

Malah, Wan Fayhsal menyifatkan bekas Perdana Menteri tersebut “tidak layak memimpin” kerana sudah tua, tidak berintegriti dan tidak menghormati Raja-raja Melayu.

Wan Saiful (kiri) dan Wan Fayhsal.

Sementara itu, Wan Saiful pula mendakwa Mahiaddin ialah ketua yang lemah dan punca utama kelemahan Perikatan Nasional (PN).

“Apa yang berlaku ini bagi saya langsung tak sihat. Kita bercakap mengenai siapa nak jadi Perdana Menteri.

“Tapi nak bawa agenda apa sebenarnya? Apa polisi yang hendak ditawarkan kepada rakyat yang berbeza dengan kepimpinan Anwar Ibrahim sekarang?

“Kita tidak bincang pasal polisi. Kita tak bincang pasal kebajikan rakyat tapi ‘aku nak jadi Perdana Menteri’. Ini satu keutamaan yang betul-betul salah,” tegas Wan Saiful.

Dalam masa sama, beliau juga menganggap Azmin sebagai dalang utama dalam usaha menjatuhkan mereka berdua daripada parti.

Selain itu, pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) itu mendakwa Bersatu kini telah “dihijack” oleh kumpulan yang mahu menyelamatkan menantu serta melindungi diri daripada skandal video yang diperkatakan.

Menurutnya lagi, Mahiaddin lebih mempercayai Azmin berbanding Hamzah, walaupun jasa Azmin terhadap parti diragui.

Wan Saiful bahkan secara sinis mempersoalkan “apakah mandrem bomoh yang Azmin gunakan” sehingga Mahiaddin begitu mempertahankannya.

Kedua-dua wakil rakyat pembangkang itu menegaskan, mereka bersuara bukan untuk menyerang parti, tetapi untuk menyelamatkan Bersatu daripada terus dirosakkan oleh tangan-tangan sendiri.

BACA JUGA Anggota APMM yang singgah di ‘Masjid Tok Guru Hadi Awang’ kecewa difitnah Pas