Hormati larangan arak di sekolah, bina budaya Malaysia yang sihat
AMANAH menggesa semua pihak menghormati larangan penyajian dan penganjuran arak di sekolah, sejajar dengan peraturan serta dasar kerajaan yang menolak sebarang pengaruh negatif di institusi pendidikan.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhammad Faiz Fadzil berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sudah menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan aktiviti melibatkan arak di kawasan sekolah.
“Larangan ini turut diperincikan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018, yang jelas melarang sumbangan atau aktiviti berkaitan perjudian, rokok, dadah dan minuman keras di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu berkata, sekolah mesti kekal sebagai institusi yang memupuk nilai dan budaya sihat dalam kalangan pelajar, bebas daripada unsur yang boleh menjejaskan moral serta akhlak generasi muda.
“Budaya Malaysia perlu dibina atas asas Rukun Negara, dengan penekanan terhadap prinsip kesopanan dan kesusilaan sebagai panduan utama,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa undang-undang sedia ada telah menetapkan kawalan ketat terhadap penjualan arak dalam negara.
Jelasnya, ia termasuk Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, yang melarang penjualan kepada individu berumur di bawah 21 tahun dan mewajibkan premis mempamerkan tanda larangan dengan jelas.
“Peraturan ini menunjukkan minuman arak memang dikawal bagi menjaga kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Faiz menyeru semua pihak untuk menghormati garis panduan dan peraturan sedia bagi memastikan sekolah terus bebas daripada pengaruh arak.
“Dari sudut undang-undang, kawalan minuman arak ini adalah sah dan dalam ruang lingkup Perlembagaan termasuk Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau lagi.
BACA JUGA AMANAH ‘terbang’ ke DUN Sulabayan, sedia wakili PH di PRN Sabah