Ini sebabnya kawasan sekitar Ampang Park berstatus zon merah
Sebarang perhimpunan di kawasan Ampang Park yang dikategorikan sebagai zon merah tidak dibenarkan.
Larangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berikutan faktor keselamatan sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal bermula esok hingga 28 Oktober ini di ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kawasan itu menempatkan laluan-laluan protokol dan hotel yang didiami oleh para delegasi sidang kemuncak tersebut.
“Pihak penganjur telah dimaklumkan bahawa lokasi Ampang Park tidak sesuai kerana jaraknya kurang 50 meter daripada kawasan zon merah.
“Malah, hotel seperti InterContinental turut menjadi tempat penginapan rasmi delegasi ASEAN,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Beliau memberitahu pihak polis telah menawarkan beberapa lokasi alternatif kepada penganjur termasuk Padang Merbok atau Dataran Merdeka, namun mereka dilaporkan masih berhasrat meneruskan perhimpunan di kawasan Ampang Park.
“PDRM menghormati hak orang ramai untuk berhimpun secara aman, namun ia mestilah mengikut peruntukan undang-undang dan mengambil kira keselamatan awam serta imej negara sebagai tuan rumah sidang ASEAN,” katanya.
Sehubungan itu, Fadil menegaskan bahawa polis akan menggerakkan kekuatan penuh melibatkan Polis Kuala Lumpur bagi memastikan tiada cubaan untuk mengadakan perhimpunan di kawasan larangan itu.
“Mana-mana individu yang tetap berkumpul atau cuba memasuki kawasan Ampang Park akan diarahkan bersurai serta boleh dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Awam 2012,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Megah-1 gegar dunia tenaga, penemuan terbesar Petronas dalam 20 tahun