Lebih 6,000 peserta sertai KBS Masters Games 2025 bukti Malaysia ke arah negara sukan

FOTO BERITA… Majlis Perasmian Kejohanan KBS Masters 2025 oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh di Dewan Bankuet Casa 4, Majlis Sukan Negara Auditorium, Kuala Lumpur. 24hb Okt 2025 (Jumaat)

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, hari ini merasmikan Kejohanan KBS Masters Games 2025 yang berlangsung di Dewan Casa 4, Majlis Sukan Negara (MSN). Penganjuran kejohanan ini mencerminkan komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Negara Sukan, dengan menekankan pembudayaan sukan sebagai gaya hidup sihat untuk semua lapisan masyarakat, bukan hanya tertumpu kepada atlet berprestasi tinggi.

Kejohanan yang berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025 di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya ini menampilkan 23 acara sukan dengan penyertaan lebih 6,000 peserta berusia antara 40 hingga 60 tahun. Program ini bertujuan menggalakkan penglibatan aktif golongan dewasa dan warga emas dalam mengekalkan kesihatan fizikal serta kesejahteraan mental.

Selain menjadi medan pertandingan sihat, KBS Masters Games turut berperanan memupuk semangat kesukanan, memperkukuh hubungan sosial dan menyokong kesejahteraan komuniti, selaras dengan persediaan Malaysia menuju status negara menua menjelang tahun 2048.

Antara acara yang dipertandingkan termasuk hoki, akuatik, berbasikal, bola sepak, boling padang, boules, catur, e-sukan, sepak takraw, memanah, olahraga masters, pickleball, sukan lasak, bola jaring, bola tampar, golf, ping pong, tenpin boling, badminton, scrabble, larian dan tai chi.

KBS menegaskan bahawa melalui pembudayaan sukan secara berterusan, isu kesihatan seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung dapat dicegah, sejajar dengan prinsip “mencegah lebih baik daripada merawat.”