Mahiaddin jangan lindungi menantu sendiri
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, mengecam sikap bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin yang didakwa berdiam diri berhubung usaha pihak berkuasa mengesan menantunya, Muhammad Adlan Berhan, yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mahfuz berkata, tindakan SPRM memohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membatalkan pasport Muhammad Adlan membuktikan siasatan terhadap skandal kewangan berkenaan semakin serius.
Beliau berkata, pasport individu terbabit telah dibatalkan dan SPRM turut memohon bantuan Interpol bagi menjejakinya.
“Apa yang lebih menyedihkan ialah sikap bekas Perdana Menteri itu sendiri yang seolah-olah berdiam diri dan gagal memberi kerjasama penuh untuk membantu pihak berkuasa mengesan di mana menantunya berada,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Mahfuz mempersoalkan bagaimana seorang bapa mentua, apatah lagi bekas Perdana Menteri, tidak mengetahui lokasi menantunya.
“Diamnya Muhyiddin bukan tanda tidak tahu tetapi tanda mahu melindungi. Jika beliau benar-benar telus dan tidak bersalah, beliau sepatutnya tampil membantu siasatan, bukan bersembunyi di balik alasan politik,” ujarnya.
Menurut beliau, rakyat semakin muak dengan sikap pemimpin yang lantang bercakap soal integriti dan perjuangan Islam tetapi gagal mengamalkannya apabila melibatkan keluarga sendiri.
“Inilah wajah sebenar politik munafik — bercakap soal moral, tapi berkomplot melindungi salah laku orang sendiri,” tegas Mahfuz.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa meneruskan tindakan tanpa rasa gentar, serta menyiasat Muhyiddin sekiranya terbukti menghalang siasatan atau menyembunyikan maklumat penting.
“Sudah tiba masanya rakyat melihat bahawa tiada siapa kebal di sisi undang-undang walaupun bekas Perdana Menteri,” katanya.
Tambah bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, Mahiaddin lantang bercakap soal integrity apabila melibatkan pihak lain.
“Bila kena menantu sendiri terus hilang suara. Jangan jadi wira di mimbar, tapi penakut bila depan SPRM,” tempelaknya.
Tegas beliau lagi, Islam tidak pernah mengajar umatnya melindungi kesalahan keluarga, sebaliknya hanya “politik hipokrit” yang berbuat demikian.
BACA JUGA Megah-1 gegar dunia tenaga, penemuan terbesar Petronas dalam 20 tahun